AM

UPNM DAN DSA METERAI MEMORANDUM PERJANJIAN BAGI DANA BIASISWA RM400,000

17/12/2024 06:23 PM

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan DSA Exhibition and Conference Sdn Bhd (DSA Sdn Bhd) hari ini menandatangani memorandum perjanjian (MoA) bertujuan membantu meningkatkan kualiti pendidikan tinggi anak-anak anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Melalui perjanjian itu, DSA Sdn Bhd akan menyumbang RM100,000 ke dalam Dana Biasiswa DSA setiap kali Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia dwitahunan itu diadakan, bermula tahun ini hingga 2030 dan ia akan digunakan bagi membantu anak-anak ATM serta PDRM yang melanjutkan pengajian di UPNM.

Serahan pertama sumbangan RM100,000 telah dilakukan pada pameran DSA NATSEC Asia tahun ini.

Memorandum berkenaan ditandatangani Naib Canselor UPNM Lt Jen Datuk Mardzuki Muhammad dan Pengarah DSA Sdn Bhd Datuk Azzat Kamaludin pada majlis ringkas yang diadakan di UPNM di sini hari ini.

Sementara itu, Mardzuki dalam ucapannya berkata memorandum berkenaan merupakan langkah proaktif yang selari dengan aspirasi universiti untuk membantu mereka yang memerlukan supaya terus menyumbang kepada pembangunan modal insan yang berkualiti tinggi, khususnya dalam bidang pertahanan dan keselamatan.

Beliau berkata UPNM komited untuk memastikan program ini berjalan lancar bagi memberi manfaat kepada pelajar yang layak sekali gus dapat memperluaskan capaian anak-anak anggota keselamatan negara kepada peluang pendidikan berkualiti.

"Saya yakin bahawa kolaborasi ini akan membuka ruang kepada lebih banyak peluang kerjasama strategik di masa hadapan bukan sahaja dalam bidang pendidikan tetapi juga dalam pembangunan penyelidikan, inovasi, dan teknologi pertahanan yang canggih," katanya.

Pada masa yang sama, Azzat berkata pihaknya melihat kerjasama berkenaan sebagai peluang untuk merombak cara industri menyumbang kepada modal insan untuk pembangunan negara. 

Beliau berkata inisiatif itu bukan sekadar sokongan kewangan tetapi juga bertujuan memupuk semangat, inovasi, kepimpinan, dan kecemerlangan akademik dalam kalangan anak-anak perajurit dan pegawai keselamatan yang berkhidmat mempertahankan negara.

"Pihak kami berharap sumbangan ini dapat membuka jalan untuk pelajar mendapat kejayaan dan memberi sumbangan yang bermakna kepada kemajuan Malaysia," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan