AM

Pendawaian Tidak Teratur Antara Punca Insiden Renjatan Elektrik Dalam Bas

20/11/2024 03:47 PM

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Pendawaian elektrik pada bas yang tidak teratur dan dilakukan oleh pihak tidak mendapat tauliah daripada Suruhanjaya Tenaga (ST) antara punca insiden renjatan elektrik dalam sebuah bas ekspres yang menyebabkan kematian seorang remaja berusia 18 tahun.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata perkara itu antara laporan awal yang dikenal pasti oleh Pasukan Petugas Khas mengenai insiden itu yang turut mendapati sambungan pendawaian dari keluaran kotak pengagihan (DB) ke pendawaian soket dipasang secara terbalik.

“Selain itu penggunaan kelengkapan elektrik yang digunakan dalam bas tersebut juga tidak memenuhi piawaian barangan ditetapkan.

“Pendawaian bas ini baharu, tetapi apa yang dikenal pasti oleh pasukan ini ialah ada pendawaian tidak teratur menyebabkan ia tidak selamat, iaitu pendawaian soket dipasang secara terbalik jadi ada input dan output terbalik.

“Voltan yang tinggi dikeluarkan melalui soket tersebut dan bila voltan itu mengalir dalam badan mangsa menyebabkan kematian berlaku. Itu yang kita kenal pasti antara punca insiden ini berlaku,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.

Pasukan Petugas Khas itu dianggotai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Suruhanjaya Tenaga (ST), Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Beliau berkata APAD juga telah mengeluarkan surat pemberhentian sementara operasi sebuah lagi bas milik syarikat pengendali sama sehingga siasatan lanjut selesai dijalankan, kerana didapati mempunyai spesifikasi pendawaian elektrik yang sama.

Selain itu, Loke berkata APAD turut mengeluarkan larangan penggunaan soket 3-pin dan USB dalam semua bas ekspres pada 6 Nov lepas yang berkuat kuasa sehingga polisi dan garis panduan pendawaian tambahan baharu dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan.

“Syarikat pengendali digalakkan untuk menghantar bas berkenaan menjalani pemeriksaan pendawaian tambahan dan pengujian yang telah diakreditasi oleh Suruhanjaya Tenaga. Sekiranya lulus mereka boleh serahkan kepada APAD untuk guna semula soket itu," katanya. 

Bagi proses pelesenan, APAD juga mewajibkan syarikat pengendali bas baharu dan sedia ada mengemukakan keputusan laporan atau sijil pemeriksaan pendawaian tambahan oleh badan pemeriksaan dan pengujian yang telah diakreditasi oleh Jabatan Standard Malaysia.

Mereka juga perlu mengemukakan laporan pendawaian dan kelengkapan elektrik tambahan, contohnya kabel, soket alur keluar dan peranti arus baki yang digunakan semua kenderaan perdagangan.

Pada masa sama, Loke berkata pihaknya sedang membangunkan satu garis panduan pendawaian tambahan baharu bagi semua syarikat pengendali bas yang dijangka siap sekurang-kurangnya dalam tempoh enam bulan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan