LABUAN, 8 Dis (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa melawat Kompleks Kementerian Komunikasi bernilai RM9.5 juta di Jalan Tanjung Taras di sini hari ini, sebagai sebahagian daripada rangka lawatan kerjanya di Labuan.
Kompleks berkenaan menempatkan agensi utama Kementerian Komunikasi termasuk pejabat Biro Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), RTM Labuan, Jabatan Penerangan, dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Pada lawatan itu, Dr Zaliha diberi taklimat oleh Pengarah Jabatan Penerangan Labuan Azman Sipan mengenai pembinaan, kemudahan dan fungsi kompleks itu.
Beliau turut beramah mesra dengan petugas kementerian sambil menekankan kepentingan peranan mereka dalam meningkatkan perkhidmatan komunikasi dan penyebaran maklumat di pulau bebas cukai itu.
Terdahulu, Dr Zaliha bersiaran langsung menerusi Labuan FM membincangkan isu pembangunan di Labuan dan inisiatif kerajaan untuk menangani setiap isu yang timbul.
Beliau kemudian mengadakan temu bual eksklusif dengan Bernama, mengimbas kembali pentadbirannya selama setahun sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Wilayah Persekutuan termasuk Labuan.
"Kompleks Kementerian Komunikasi ini bukan sekadar bangunan, tetapi bukti kepada komitmen kerajaan untuk memperkukuh jaringan maklumat, melancarkan program kerajaan dan komuniti serta memudahkan sebaran berita di Labuan.
"Adalah penting untuk memastikan suara dan keperluan penduduk di sini didengari pihak berkaitan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial