KUALA KANGSAR, 16 Dis (Bernama) -- Setiap kali melihat pingat dan darjah kebesaran keluaran syarikatnya Mariwasa Kraftangan Sdn Bhd (Mariwasa) disematkan ke dada atau dikalungkan ke leher penerima pada istiadat pengurniaan, terbit rasa bangga dan puas di hati Putri Rafidah Megat Noh.
Manakan tidak, setiap butir pingat tersebut merupakan hasil jerih perih dirinya serta karyawan lain di syarikatnya, bermula dari rekaan awal hinggalah siap berkilau, sedia untuk menghiasi dada atau leher individu yang berkenaan sebagai simbol pengiktirafan jasa dan sumbangannya kepada negara.
"Sebab itulah bila ada berita mereka yang menerima gelaran atau darjah kebesaran palsu atau tidak melalui saluran betul, hati saya terjentik.
"Pingat kebesaran bukan mudah dihasilkan dan bukan untuk calang-calang individu kecuali dia didapati layak menerima pingat itu. Pingat itu lambang jasa dan budi individu berkenaan kepada negara dan komunitinya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Mariwasa itu ketika ditemui Bernama di kilangnya, di sini baru-baru ini.
SEJARAH MARIWASA KRAFTANGAN
Menyingkap sejarah Mariwasa, Putri Rafidah berkata syarikat itu ditubuhkan pada Julai 1975 oleh Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas bersama-sama dengan dua sahabatnya Johari Jaalam dan Nick Love.
Syarikat tersebut kemudian diambil alih oleh anak saudara beliau Megat Mohamad Abdul Wahab ketika syarikat sedang menghadapi masalah kewangan dan kekurangan permintaan.
Berbekalkan keyakinan dan dibantu oleh enam orang pekerja, Megat Mohamad Wahab berjaya memulihkan keadaan serta mengembangkan perniagaan dan mula menerima tempahan daripada kerajaan persekutuan serta negeri.
Seterusnya, mereka berjaya menjadi subkontraktor satu jenama terkemuka di England sebagai pembuat darjah dan bintang kebesaran untuk beberapa negara di Timur Tengah.
Dari sebuah ruang kedai kecil, Mariwasa kini mempunyai dua buah kilang dilengkapi pelbagai mesin serta menjadi pembekal dan pembuat darjah kebesaran untuk hampir semua kerajaan negeri, kerajaan persekutuan dan beberapa negara luar, antaranya Maldives, Oman dan Kuwait.
“Daripada hanya sebagai pengeluar serta pembuat bintang dan darjah kebesaran, kami kini mempelbagaikan keluaran seperti aksesori uniform, barangan kraf, barangan perak, barangan kemas dan pelbagai produk berasaskan logam.
“Kami juga menjalinkan kerjasama dengan beberapa syarikat dari England, Jerman, Austria dan Itali dalam membekalkan barangan banqueting (jamuan rasmi) dan hiasan dalaman, dengan klien kami merangkumi beberapa istana dan orang perseorangan,” katanya.
Beliau berkata Mariwasa juga merupakan pereka dan pembuat uniform serta aksesori beberapa buah jabatan dan agensi kerajaan dengan rekaan syarikat diterima guna oleh agensi penguatkuasaan sebagai lambang jabatan masing-masing hingga kini.
Jelas beliau, Mariwasa kini berupaya menyediakan khidmat dari rekaan hingga ke produk akhir.
PRODUK KRAF EKSKLUSIF
Selain menghasilkan darjah dan pingat kebesaran, kebanyakan produk Mariwasa ialah barangan berasaskan logam termasuk aksesori uniform dan pedang istiadat serta cenderamata berasaskan logam berharga seperti emas dan perak.
Mereka juga menawarkan perkhidmatan hiasan dan rekaan dalaman.
“Kami juga diberikan kepercayaan untuk mengendalikan istiadat-istiadat di istana seperti pertunangan, perkahwinan, keputeraan hinggalah ke kemangkatan,” katanya.
Menurut beliau, Mariwasa kini mempunyai 110 orang pekerja dengan kesemuanya warga tempatan.
“Dasar kami ialah tidak mengambil seorang pun rakyat asing sebagai pekerja, kerana kami percaya jika diberikan peluang, latihan dan gaji yang sepatutnya, rakyat kita dapat membantu membendung pengaliran keluar wang negara dan secara tidak langsung membantu ekonomi setempat.
“Kebanyakan pekerja kami bermula dengan zero kemahiran dan latihan, (menerusi) nasihat dan galakan yang kami berikan telah dapat menjadikan mereka pekerja mahir dan kebanyakan pekerja kami telah berkhidmat lebih 15 tahun.
“Kami menggalakkan pekerja kami untuk terus bekerja apabila mencapai usia persaraan selagi mereka mempunyai keupayaan untuk menyumbang kepada syarikat... ada pekerja kami yang telah berusia 75 tahun dan masih mampu menyumbang tenaga dan kemahiran mereka,” katanya lagi.
Malah, katanya, tiada jurang dalam hubungan antara pihak atasan dan pekerja selain syarikat turut mengamalkan sistem anjal dan toleransi dalam menangani pekerja yang mempunyai masalah peribadi.
“… kerana kami percaya dengan slogan ‘happy staff bring great benefits to the company’, selain menyediakan ruang kerja yang kondusif,” tambah beliau.
PROSES HASILKAN DARJAH, PINGAT KEBESARAN
Eksklusif. Itulah yang dapat digambarkan untuk produk Mariwasa kerana setiap barangan yang dikeluarkan mengikut cita rasa dan keperluan pelanggan.
Selain daripada itu, beliau berkata syarikatnya juga menyediakan khidmat selepas jualan bagi memastikan kepuasan pelanggan terjamin termasuk membantu di istiadat yang memerlukan khidmat mereka.
“Sebagai contoh, untuk bintang dan darjah kebesaran, kami akan mengambil ukuran selempang setiap seorang bakal penerima pada hari raptai dan menyediakan khidmat serta bantuan pada hari penganugerahan,” katanya yang percaya perkhidmatan itu hanya disediakan oleh mereka.
Beliau berkata langkah itu dibuat kerana setiap penerima darjah mempunyai ukuran yang berbeza dan pihaknya berasa bangga dan puas apabila melihat pingat yang dihasilkan sepadan dengan penerima.
“Kami juga sentiasa menepati masa walaupun tempahan diterima saat akhir. Alhamdulillah, kami mempunyai tenaga kerja yang sanggup bersengkang mata bagi menyiapkan tempahan tanpa mengenepikan kualiti produk yang dikeluarkan,” ujarnya.
Menurut Putri Rafidah, proses bermula dengan rekaan acuan, lukisan tiga dimensi (3D) menggunakan perisian, pengacuan logam, diikuti penempaan, pemotongan menggunakan laser, pengilatan dan akhir sekali pembungkusan.
Kilang mereka katanya menggunakan mesin berteknologi tinggi berharga RM1.4 juta yang diimport khas dari Jerman bagi penghasilan pingat-pingat terbabit.
IKUT IDENTITI, SPESIFIKASI NEGERI
Menyentuh tentang rekaan dan bahan yang digunakan pula, Putri Rafidah berkata rekaan pingat dan darjah kebesaran dibuat berdasarkan spesifikasi dan identiti negeri serta permintaan daripada klien.
“Sebagai contoh, pingat kebesaran Pahang baru-baru ini diinspirasikan oleh Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah yang berkenan agar diletakkan elemen bunga kopi dan juga lambang-lambang daripada sultan sebelumnya.
“Jika Kedah, ada lambang bunga padi. Perak pula sembilan bucu menandakan negeri ini ada sembilan daerah semasa pingat ini diwartakan dahulu,” katanya.
Meneruskan penjelasan, beliau berkata bahan juga mengikut kehendak klien, sama ada menggunakan emas, berlian bagi pingat tertinggi atau tembaga atau rodium untuk pingat peringkat lebih rendah.
“Kebiasaanya, untuk satu-satu tempahan baharu mengambil masa sekurang-kurangnya tiga bulan, tetapi jika ada permintaan untuk mempercepatkan kita terima cabaran tersebut. Sebagai contoh, bagi pingat dan darjah kebesaran istiadat pertama (Sultan Pahang) Al-Sultan Abdullah baru-baru ini, kami hanya ada 30 hari untuk siapkan (bermula) daripada kertas putih (rekaan), tetapi alhamdulilah, dengan kerjasama kakitangan yang komited, kami dapat menyiapkannya,” kata beliau.
Putri Rafidah berkata beliau turut mengingatkan kakitangan agar membuat pingat dan darjah dengan sentuhan kasih sayang serta ketekunan, berpegang pada kepercayaan bahawa si pemakai merupakan insan terpilih yang layak memakainya.
Berhubung perancangan masa depan, beliau berkata Mariwasa menyasarkan untuk menjadi sebuah syarikat berinovasi dan mengunakan teknologi tinggi tanpa mengenepikan nilai-nilai kraf tradisi dan menjaga warisan negara.
“Selain daripada itu, memandangkan tukang-tukang mahir hampir pupus, kami bercadang menyediakan pusat latihan dan peluang pekerjaan yang menjamin masa depan mereka.
“Untuk menyediakan pusat latihan ini, modal yang diperlukan amat besar kerana peralatan yang digunakan seperti mata gergaji, logam perak dan sebagainya agak mahal, dan untuk menjadi pekerja separuh mahir, latihan berterusan yang diperlukan paling kurang setahun,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial