ARAU, 2 Jan (Bernama) -- Universiti di negara ini berupaya untuk memanfaatkan kepakaran mereka bagi membantu masyarakat yang terkesan akibat bencana banjir sekali gus tampil sebagai pemangkin pemulihan pascabanjir.
Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Datuk Ts Dr Zaliman Sauli berkata bencana banjir yang melanda beberapa negeri baru-baru ini meninggalkan kesan amat mendalam, bukan sahaja kepada infrastruktur tetapi juga kehidupan masyarakat.
"Apabila air surut, ia mendedahkan kemusnahan besar seperti kerosakan pada rumah, sekolah, surau, dan tadika serta kehilangan harta benda yang tidak ternilai, dan di tengah keperitan ini, universiti di Malaysia tampil memberi sinar harapan.
"Universiti kini tidak lagi sekadar institusi pendidikan tetapi mereka turut memikul tanggungjawab sosial yang lebih besar untuk memberikan manfaat terus kepada komuniti," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata UniMAP sendiri telah memperlihatkan komitmen luar biasa dalam membantu komuniti yang terjejas akibat banjir dengan penglibatan staf akademik dan penyelidik yang berkemahiran tinggi dalam bidang masing-masing.
"Bagi UniMAP, usaha ini sebahagian daripada visi 'UniMAP for Society' yang menekankan peranan universiti sebagai jambatan antara ilmu dan keperluan masyarakat. Kepakaran dan pengetahuan yang ada di universiti perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk membantu masyarakat terutama ketika mereka memerlukan sokongan pascabencana.
"Bantuan yang disalurkan meliputi aspek elektrik, elektronik, mekanikal, dan kejuruteraan awam, mereka melaksanakan pembaikan kecil-kecilan seperti membaiki barangan elektronik, pendawaian rumah dan perabot yang rosak akibat bencana itu," katanya.
Dr Zaliman berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menyeru semua pihak untuk bersatu padu dalam membantu komuniti yang terjejas akibat bencana alam.
"Perdana Menteri menegaskan semangat kebersamaan antara kerajaan, institusi dan rakyat ialah kunci utama dalam memastikan proses pemulihan berjalan lancar. Ia turut disuarakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi bahawa universiti perlu menjadi ejen perubahan sosial yang bukan sahaja menyediakan pendidikan berkualiti tetapi juga menyumbang kepada pembangunan komuniti.
"Satu daripada contoh terbaik komitmen ini dapat dilihat melalui kerjasama antara UniMAP dan Universiti Utara Malaysia (UUM). Kedua-dua institusi ini berganding bahu dalam misi bantuan pascabanjir di Kedah dengan menjalankan pembaikan di pelbagai fasiliti awam di Jitra," katanya.
Dr Zaliman berkata kolaborasi itu tidak hanya mempercepat proses pemulihan tetapi juga membuktikan bagaimana kerjasama antara universiti dapat memberi impak yang besar.
"Ia menunjukkan bahawa gabungan kepakaran dan sumber daripada pelbagai institusi mampu menyelesaikan masalah dengan lebih cekap dan menyeluruh. Staf akademik, penyelidik dan mahasiswa yang terlibat juga dapat memgambil manfaat daripada pengalaman ini.
"Inisiatif seperti ini juga membawa dimensi baharu dalam hubungan antara universiti dan komuniti melalui perkongsian ilmu, teknologi dan sumber manusia. Ia membuktikan bahawa universiti bukan sahaja tempat untuk menimba ilmu tetapi juga institusi yang memahami dan prihatin terhadap keperluan setempat," katanya.
Beliau berkata apa yang telah dilakukan oleh UniMAP, UUM dan universiti-universiti lain adalah bukti bahawa institusi pendidikan tinggi mampu menjadi pemangkin perubahan dalam menghadapi cabaran besar seperti bencana alam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial