PUTRAJAYA, 26 Jan (Bernama) -- Kerajaan sedang merangka pelbagai inisiatif dan agenda khusus untuk memajukan Wilayah Persekutuan pada tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.
Beliau berkata dengan menginjak usia 51 tahun penubuhan Wilayah Persekutuan, setiap agensi telah diminta menetapkan sasaran dan fokus untuk mengembangkan potensi tiga wilayah iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan.
"Kita telah menetapkan sasaran masing-masing untuk setiap agensi di bawah Wilayah Persekutuan agar kita dapat memberi tumpuan dan keutamaan pada 2025," katanya kepada pemberita selepas Program Car Free Day (CFD) di sini hari ini.
Sempena sambutan Hari Wilayah 2025, Dr Zaliha mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk menyertai pelbagai program yang telah dirangka sepanjang Februari ini.
"Wilayah Persekutuan kali ini menyambut ulang tahun penubuhan ke-51. Tema yang kita pilih ialah 'Wilayah Persekutuan Kita'," katanya.
Beliau menjelaskan bahawa tema 'Wilayah Persekutuan Kita' bertujuan untuk mengajak semua warga, dari pelbagai peringkat umur dan kategori, bekerjasama membina Wilayah Persekutuan ke arah kesejahteraan dan kemampanan.
Sebelum ini, Dr Zaliha dilaporkan berkata kira-kira 72,000 bendera Wilayah Persekutuan akan diagihkan di Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan ke-51 pada 1 Feb ini.
Wilayah Persekutuan ditubuhkan pada 1 Feb 1974, apabila Kuala Lumpur diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pertama, diikuti Labuan pada 1984 dan Putrajaya pada 2001.
Penubuhan ketiga-tiga Wilayah Persekutuan ini mempunyai fungsi khusus, iaitu Kuala Lumpur sebagai ibu negara, Putrajaya sebagai pusat pentadbiran persekutuan, dan Labuan sebagai pusat perniagaan dan kewangan antarabangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial