AM

Presiden Indonesia Prabowo Diberi Sambutan Negara Di Istana Negara

27/01/2025 12:22 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Presiden Indonesia Prabowo Subianto diberikan sambutan negara penuh istiadat di Istana Negara hari ini bersempena dengan lawatan negara atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Ketibaan Prabowo pada 10 pagi, disambut Seri Paduka Baginda.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, serta menteri Kabinet.

Istiadat sambutan negara yang berlangsung di Dataran Kawad Istana Negara dimulakan dengan lagu kebangsaan kedua-dua negara yang dimainkan oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja disusuli tembakan meriam 21 das daripada 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja.

Presiden Indonesia itu kemudian memeriksa Kawalan Kehormatan Utama yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja diketuai Mejar Azham Mohamad.

Selepas istiadat rasmi, Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap Prabowo di Dewan Seri Maharaja dan beliau dikurniakan Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati I, disusuli dengan persembahan cenderakenangan.

Seri Paduka Baginda turut berkenan menjadi tuan rumah Majlis Santapan Negara bagi meraikan Presiden Indonesia itu dan delegasinya.

Wisma Putra dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan lawatan ini ialah lawatan negara pertama oleh seorang ketua negara asing ke Malaysia, selepas pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Ia juga merupakan lawatan negara pertama oleh Prabowo ke negara Asia Tenggara sejak pelantikannya sebagai Presiden Indonesia pada 20 Okt 2024.

Dalam lawatan ini, beliau dijadualkan bertemu dengan Perdana Menteri untuk saling bertukar pandangan mengenai kerjasama dua hala, di samping membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama, di Menara Berkembar Petronas di ibu negara.

Sebagai jiran rapat yang mempunyai hubungan kukuh dan ahli pengasas ASEAN, lawatan negara ini mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuh hubungan strategik demi kemakmuran bersama. Hubungan itu merentasi pelbagai bidang termasuk politik, ekonomi, pertahanan, kesalinghubungan, pendidikan dan sosiobudaya.

Dari Januari hingga November 2024, jumlah perdagangan dua hala antara kedua-dua negara mencatat RM106.06 bilion (US$23.2 bilion), meningkat daripada RM101.99 bilion (US$22.41 bilion) yang direkodkan dalam tempoh sama pada 2023.

Pada 2023, Indonesia merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia pada peringkat global dan ketiga terbesar dalam ASEAN, dengan jumlah perdagangan sebanyak RM111.21 bilion (US$24.39 bilion).

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan