AM

Umat Islam Perlu Kembali Kepada Al-Quran Sebagai Panduan Utama - Raja Perlis

26/01/2025 08:22 PM

KANGAR, 26 Jan (Bernama) -- Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah mengingatkan umat Islam supaya kembali kepada al-Quran sebagai panduan utama dalam menghadapi pelbagai persoalan dan cabaran kehidupan.

Baginda bertitah al-Quran adalah penyelesaian muktamad bagi perbezaan yang mungkin timbul dalam kalangan umat Islam.

"Setiap umat Islam wajib memahami isi kandungannya dan mengamalkan pengajarannya dalam kehidupan seharian, menjadikannya kompas sebenar untuk kehidupan. Al-Quran adalah kitab suci yang penuh dengan mukjizat. Ia harus dirasai semua, tanpa mengira pemahaman mereka terhadap bahasa Arab.

"Kecantikan dan panduan dalam al-Quran mesti dikaji, dihayati dan diterapkan dalam tindakan serta amalan harian kita," titah Tuanku Syed Sirajuddin sempena majlis penutupan Konvensyen Sunnah Antarabangsa Perlis (PISC) 2025 di Dewan 2020 di sini hari ini.

Majlis penutupan itu turut dihadiri Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli bersama penceramah dan peserta dari enam negara. PISC diadakan dari 24 Jan dengan tema 'Al-Quran: Petunjuk Ilahi'.

Sementara itu, Tuanku Syed Sirajuddin bertitah Perlis menekankan komitmen terhadap kepentingan ilmu dan kesahihan fakta, terutama mengenai perkara agama, bagi memastikan pemahaman Islam kekal pada jalan yang benar.

"Negeri ini percaya kesahihan fakta, yang dipandu al-Quran dan sunah, penting untuk menyeimbangkan kehidupan duniawi dan rohani seorang Muslim," titah baginda.

Raja Perlis juga menyorot kejayaan negeri ini menganjurkan acara berasaskan ilmu berskala besar seperti Perkampungan Sunnah dan Konvensyen Sunnah untuk mengukuhkan pemahaman Islam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan