BALING, 5 Mac (Bernama) -- Sepasukan lapan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah Baling dekat sini berdepan detik cemas selepas salah satu ruangan di pusat operasi mereka di Jalan Weng, Kampung Seberang Pekan Baling terbakar petang tadi.
Pegawai APM daerah Baling, Lt (Pertahanan Awam) Mohd Faizol Ab Aziz berkata kejadian berlaku sekitar pukul 2.15 petang apabila salah seorang anggota APM melihat asap dari bahagian dapur dan segera memaklumkan kepada rakan-rakan yang lain.
"Ketika kejadian, saya berada di pejabat yang terletak kira-kira 50 meter dari ruangan yang terbakar. Sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kejadian, kami terus menghubungi pihak bomba," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata pihaknya turut mengambil langkah awal dengan menggunakan alat pemadam api untuk mengawal kebakaran sebelum pasukan bomba tiba dan berjaya memadamkan api dalam masa yang singkat.
"Beberapa peralatan operasi musnah terbakar, antaranya gergaji berantai, jaket keselamatan, power cutter, topi keselamatan, peralatan menangkap ular serta peralatan untuk memusnahkan sarang serangga.
"Peralatan elektrik seperti peti sejuk juga turut musnah... bagaimanapun, tiada mangsa yang cedera dalam kejadian itu,” katanya.
Bangunan berusia kira-kira 40 tahun itu adalah sebuah bangunan hospital lama yang diubah suai menjadi pusat operasi APM Baling dan Pusat Latihan Pertahanan Awam Wilayah Utara (Pulapau).
"Semasa kejadian, seramai 35 orang pelatih, yang berumur antara 20 hingga 50 tahun, sedang mengikuti program di bangunan yang sama,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.30 petang dan jentera pertama tiba di lokasi empat minit kemudian.
"Kebakaran melibatkan struktur bangunan di bahagian hadapan pusat operasi APM Baling dengan anggaran kemusnahan sebanyak 60 peratus. Api berjaya dikawal pada pukul 2.44 petang. Kami turut menerima bantuan dari BBP Pengkalan Hulu, Perak," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial