AM

Kumpulan Rentas Parti Parlimen Ditubuh, Kukuh Keharmonian Kaum, Agama

06/03/2025 09:50 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia Keharmonian Kaum dan Agama (KRPPM-KKA) yang berfungsi sebagai platform mengenal pasti dan mencari solusi serta kesedaran isu berkaitan keharmonian kaum dan agama di Malaysia, telah diluluskan penubuhannya pada 28 Jan lepas.

Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan berkata kelulusan itu diperoleh melalui surat rasmi yang dihantar Dewan Rakyat kepada beliau selaku Pengerusi KRPPM-KKA.

Beliau berkata berdasarkan perkembangan isu semasa, KRPPM-KKA melihat keperluan mendesak untuk menghimpunkan semua pihak berkepentingan bagi membincangkan hala tuju keharmonian kaum dan agama di Malaysia.

“KRPPM-KKA juga menegaskan komitmennya untuk menggerakkan kesedaran, advokasi, serta mengemukakan cadangan-cadangan perundangan kepada pembuat dasar.

Usaha ini bertujuan memastikan keharmonian kaum dan agama di Malaysia terus terpelihara dan diperkukuhkan, selaras dengan lunas Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen hari ini. 

Kumpulan itu dianggotai lapan wakil rakyat termasuk wakil parti kerajaan dan pembangkang yang melambangkan niat dan pendekatan bipartisan.

Jawatan Timbalan Pengerusi I disandang Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, Timbalan Pengerusi II Dr Hajah Halimah Ali (PN-Kapar), Setiausaha R.Yuneswaran (PH-Segamat) manakala Bendahari pula Riduan Rubin (Bebas-Tenom).

Empat ahli kumpulan itu ialah Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar), Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) dan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya).

Syahredzan berkata antara fokus yang bakal dilihat oleh kumpulan itu ialah mempelopori cadangan-cadangan perundangan, dasar dan inisiatif berkaitan dalam menyokong usaha keharmonian kaum dan agama di peringkat nasional.

Fokus lain ialah menjadi platform utama dalam mempromosikan sesi-sesi dialog dan perbincangan mengenai isu keharmonian kaum dan agama untuk semua pemegang taruh.

“Selain itu membangunkan inisiatif advokasi dan pendidikan yang menyatupadukan masyarakat pelbagai kaum dan agama dan memberi maklum balas dan cadangan kepada kementerian-kementerian berkaitan bagi melestarikan hubungan antara kumpulan kaum dan agama di Malaysia,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan