AM

Pengguna Daun Ketum Boleh Diarah Jalani Pemulihan Walaupun Tidak Ketagih- AADK

01/07/2025 11:57 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) kini mempunyai kuasa untuk mengarahkan pengguna daun ketum untuk menjalani rawatan di pusat pemulihan milik agensi berkenaan, walaupun mereka tidak menunjukkan gejala ketagihan.

Ketua Pengarah AADK Datuk Ruslin Jusoh berkata kuasa itu diperoleh selepas Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024, pada tahun lepas.

“Sebelum ini mereka mungkin bebas kerana (AADK) tiada kuasa undang-undang untuk menahan mereka, tetapi kini, walaupun tidak ketagih mereka tetap boleh dikenakan tindakan rawatan jika didapati positif menyalahgunakan bahan itu,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara: Pencegahan Dadah yang diterbitkan oleh Bernama TV, malam ini.

Ruslin berkata tindakan sama juga boleh diambil terhadap pengguna bahan terlarang yang lain seperti ekstasi, walaupun individu itu tidak menunjukkan ketagihan.

“Walaupun individu berkenaan ambil (dadah) setahun sekali, jika dia dikesan kita boleh ambil tindakan bawah Akta Penagih Dadah,” katanya.

Ruslin berkata kerajaan turut menggalakkan rawatan secara sukarela bagi mereka yang salah guna dadah, memandangkan pendekatan berkenaan dilihat mampu memudahkan proses pemulihan individu yang terlibat.

Beliau berkata pendekatan itu, mencerminkan komitmen kerajaan untuk mengekang penyalahgunaan bahan terlarang melalui pendekatan rawatan serta pemulihan yang lebih inklusif dan progresif.

Dewan Rakyat pada Julai tahun lepas telah meluluskan rang undang-undang berkenaan, yang antaranya akan membantu kerajaan mengawal selia dan menambah baik pengurusan serta pengoperasian pusat pemulihan dadah persendirian (PPDP) di negara ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ini kerana Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 tidak mempunyai peruntukan keperluan pendaftaran bagi pusat pemulihan itu.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan