AM

Kempen Internet Selamat Tingkat Kesedaran Murid Mengenai Keselamatan Siber

17/07/2025 10:46 AM

KANGAR, 17 Julai (Bernama) -- Kempen Internet Selamat yang dianjurkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Jejawi di sini disifatkan sebagai platform berkesan dalam meningkatkan kesedaran murid terhadap keselamatan siber.

Guru Besar SK Jejawi Mohd Shariff Kadir berkata pelaksanaan kempen oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Perlis itu memberikan pendedahan awal kepada murid tahap dua di sekolah berkenaan mengenai risiko dan cabaran penggunaan Internet serta media sosial.

“Program ini selaras dengan dasar Kementerian Pendidikan Malaysia yang memberi penekanan mengenai keselamatan siber, khususnya kepada murid sekolah rendah.

“Hampir 100 murid terlibat termasuk ketua darjah, pengawas dan ketua murid. Mereka merupakan pemimpin murid yang kita harap dapat menyampaikan ilmu ini kepada rakan sebaya,” katanya kepada pemberita selepas penganjuran Kempen Internet Selamat di SK Jejawi semalam.

Mohd Shariff berkata pihak sekolah akan memperluaskan pengisian seperti dalam kempen itu kepada murid lain dari semasa ke semasa bagi memastikan mesej keselamatan siber dapat disampaikan secara menyeluruh.

“Ini antara usaha kita untuk bantu murid lebih cakna dan berhati-hati dalam penggunaan teknologi, kerana media sosial ada baik dan buruknya,” katanya.

Sementara itu, murid Tahun Enam sekolah berkenaan Fariesya Sirien Nawra Mohd Hasani berkata kempen itu memberikannya kesedaran tentang kepentingan menjaga maklumat peribadi di media sosial.

“Saya lebih tahu apa yang boleh dan tak boleh dibuat dalam Internet. Tak boleh kongsi gambar atau maklumat peribadi sebarangan,” katanya.

Seorang lagi murid Tahun Enam, Chinta Nurmaisarah Imani Zairi menyambut baik penganjuran kempen sedemikian dan menyifatkan pengisian kempen itu menarik serta mudah difahami sekali gus menambahkan pengetahuan mengenai isu keselamatan siber.

“Saya seronok dan banyak belajar benda baharu. Sekarang saya lebih faham apa itu keselamatan siber,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan