EKONOMI

TNB, CIMB, Visa, JuiceUP Perkenal Sistem Pembayaran Tanpa Sentuh Di Stesen Pengecas EV

15/08/2025 10:29 AM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) --Ekosistem kenderaan elektrik (EV) Malaysia mengorak selangkah lagi kehadapan hari ini dengan pengenalan sistem pembayaran tanpa sentuh yang dipermudahkan di stesen pengecas EV terpilih di seluruh negara.

 Sistem pembayaran yang agak rumit telah lama dibangkitkan oleh pemain industri yang dianggap sebagai antara penghalang kepada penggunaan EV.

Justeru pengenalan sistem baharu itu yang mengurangkan transaksi hanya kepada sekali ketikan sahaja dijangka dapat menggalakkan penggunaan lebih meluas kemudahan pengecasan awam dan menyokong matlamat kerajaan untuk mempercepatkan penggunaan EV di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Inisiatif itu, yang diterajui TNB Electron dengan kerjasama CIMB Bank Bhd, Visa dan JuiceUP EV Grid Sdn Bhd, bertujuan menjadikan proses pengecasan lebih senang diakses, mudah dan bermanfaat untuk pemandu, terutamanya di kawasan rehat dan rawat (R&R) strategik di sepanjang lebuh raya utama negara.

JuiceUP, sebagai pemboleh pembayaran bersepadu akan memastikan transaksi yang lancar dan selamat, bagi membolehkan TNB Electron menyediakan perkhidmatan yang konsisten dan cekap di seluruh rangkaiannya yang semakin berkembang.

Terminal pembayaran tanpa sentuh telahpun beroperasi di R&R Juru Setia Sentral, Ayer Keroh, Tapah, Gurun (Arah Utara) dan Gurun (Arah Selatan), dengan lebih banyak lagi akan menyusul.

Menerusi kemudahan yang dikuasakan oleh teknologi pembayaran canggih JuiceUP itu, pengguna EV kini boleh mengecas kenderaan mereka tanpa memerlukan aplikasi khusus, hanya perlu mengetik kad kredit atau debit, atau menggunakan Apple Pay, Samsung Pay atau Google Pay.

Pemegang kad CIMB layak mendapat diskaun 10 peratus untuk pengecasan EV dan pemegang kad Visa menikmati potongan 12 peratus bagi setiap transaksi. Manakala pemegang kad CIMB-Visa pula akan mendapat penjimatan hebat, iaitu gabungan kedua-dua tawaran bagi jumlah diskaun sebanyak 22 peratus bagi setiap pengecasan.

Promosi itu yang layak bagi perbelanjaan minimum sebanyak RM30, akan berlangsung sehingga 31 Dis 2025.

Pengarah Program (PMO Kenderaan Elektrik) TNB Wan Ahmad Zam Zam Wan Abd Wahab berkata pelancaran terminal pembayaran tanpa sentuh itu merupakan satu kemajuan penting dalam strategi TNB Electron untuk meningkatkan kebolehcapaian dan kemudahan pengguna.

"Ia juga menyediakan alternatif selain aplikasi kepada pengguna semasa mengecas kenderaan mereka. Dengan bekerjasama dengan rakan yang dipercayai seperti JuiceUP, CIMB dan Visa, kami dapat menyediakan penyelesaian pengecasan yang selamat dan lancar yang selari dengan amalan pembayaran harian," katanya sambil menambah inisiatif itu mencerminkan komitmen TNB untuk memperkasa ekosistem pengangkutan yang mampan dan menyokong agenda peralihan tenaga negara.

Ketua Pegawai Eksekutif JuiceUP Benson Lim Chai Poh berkata kerjasama itu yang menyepadukan manfaat pemegang kad eksklusif ke dalam platform, membantu memudahkan proses dan menggalakkan penggunaan EV yang lebih meluas.

“Perkongsian ini mencerminkan komitmen kami untuk memacu perubahan yang bermakna, melalui penyelesaian yang inovatif,” katanya.

Sementara itu, Pengurus negara Visa bagi Malaysia, Previn Pillay, berkata Visa berbangga menjadi peneraju dalam menyediakan pembayaran yang lancar dan selamat untuk pengecasan EV.

“Dengan bekerjasama mengendalikan terminal pengecasan untuk menyokong pelbagai kaedah pembayaran, kami membantu menghapuskan salah satu halangan utama kepada penggunaan EV, memudahkan proses pengecasan dan memperkasakan lebih ramai pemandu untuk menggunakan kenderaan dengan sifar pelepasan karbon.

"Ini merupakan sebahagian daripada komitmen meluas Visa terhadap mobiliti bandar pintar, apabila kami membantu bandar memodenkan infrastruktur pembayaran merentasi perkhidmatan transit dan mobiliti untuk mewujudkan persekitaran bandar yang lebih berhubung dan cekap," katanya.

Menurutnya, dengan lebih sembilan daripada 10 transaksi di Malaysia kini dilakukan tanpa sentuhan, Visa telah memanfaatkan penembusan tinggi ini untuk menjadikan pengecasan EV lebih mudah hanya dengan mengetik kad bagi pembayaran. 

Memandangkan Malaysia berusaha untuk mencapai sasaran penggunaan EV di bawah NETR, inisiatif itu dilihat sebagai langkah penting dalam menyelaraskan infrastruktur dengan harapan pengguna, menjadikan mobiliti mampan lebih praktikal dan mudah.

Bagi mencari platform pengecas TNB Electron yang terdekat pemandu EV boleh melayari laman sesawang www.tnb.com.my/sustainability/tnb-electron untuk mendapatkan maklumat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan