Oleh Kenny Teng Khoon Hock
BANGKOK, 15 Ogos (Bernama) -- Keluarga dua pelancong Malaysia yang mengalami kecederaan melecur selepas dibakar oleh seorang penganggur di sini pada 7 Ogos bimbang kos rawatan perubatan mereka akan melebihi perlindungan insurans.
Gan Kin In, 80, berkata beliau dan isterinya, Kek Ley Lan, berterima kasih kepada kerajaan Malaysia dan Thailand, serta agensi berkaitan, atas bantuan susulan insiden yang menimpa anak perempuan mereka dan teman lelakinya.
“Kami berada di Bangkok sejak seminggu lalu. Kerajaan Malaysia melalui Kedutaan sentiasa memberi sokongan, manakala pihak Thailand melalui Polis Pelancong serta Kementerian Pelancongan dan Sukan menyediakan pengangkutan dan penginapan,” katanya kepada Bernama pada Jumaat.
Dua rakyat Malaysia berkenaan, Gan Xiao Zhen, 27, dan teman lelakinya Ong Yik Leong, 26, diserang oleh seorang lelaki yang tidak bekerja, didakwa menyimbah mereka dengan cecair pelarut sebelum membakar mereka berhampiran sebuah pusat beli-belah di Jalan Ratchadamri pada kira-kira 10 malam, 7 Ogos.
Bagaimanapun, Kin In berkata mereka bimbang dengan kos rawatan yang telah mencecah kira-kira 150,000 baht selepas hanya seminggu lebih menerima rawatan di Hospital Memorial King Chulalongkorn.
Beliau berkata kerajaan Thailand bersetuju memberikan pampasan sehingga 550,000 baht setiap seorang.
“Kami bimbang jumlah pampasan itu tidak cukup untuk menampung keseluruhan kos rawatan di sini memandangkan caj agak tinggi,” katanya.
Kin In, seorang pesara, menambah bahawa doktor tidak optimis untuk membenarkan mangsa dipindahkan pulang ke Malaysia dalam masa terdekat.
“Semalam, Xiao Zhen mengalami demam dan tekanan darah tinggi tetapi kini sudah pulih. Keadaannya kini lebih stabil dan jika kesihatannya mengizinkan, doktor akan menjalankan pembedahan kecil cantuman kulit secara berperingkat,” katanya.
Dalam perkembangan terkini mengenai keadaan Xiao Zhen, Kin In berkata doktor menganggarkan proses pemulihan akan mengambil masa sekitar dua bulan selepas prosedur cantuman kulit, yang perlu dilakukan secara berfasa bagi mengurangkan kesakitan dan ketidakselesaan.
Sementara itu, Yik Leong yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Besar Polis dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan dijaga oleh ibu saudaranya, Ong Siew Kien.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial