EKONOMI

Penyelenggaraan Malam Aerotren KLIA Bukan Waktu Puncak Mulai 18 Ogos

15/08/2025 07:38 PM

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan menjalankan kerja penyelenggaraan malam yang dijadualkan pada sistem Aerotren selama dua minggu bermula 18 Ogos.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam satu kenyataan hari ini berkata, kerja penyelenggaraan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan prestasi sistem berkenaan.

Katanya, ia akan dijalankan pada bukan waktu puncak iaitu dari 12 tengah malam hingga 5 pagi setiap hari bagi mengurangkan impak kepada penumpang.

“Sepanjang tempoh ini, perkhidmatan Aerotren akan dihentikan sementara dan bas ulang-alik di kawasan penerbangan akan disediakan bagi memastikan ketersambungan lancar di antara bangunan terminal utama dengan bangunan satelit,” menurut kenyataan berkenaan.

Sehubungan itu, pengendali lapangan terbang itu menasihatkan para penumpang yang melalui waktu tersebut supaya mengikuti papan tanda lapangan terbang dan arahan daripada kakitangan di lapangan.

Pengarah Urusan MAHB Datuk Mohd Izani Ghani berkata MAHB sedang mengambil langkah proaktif dengan memperhalusi sistem Aerotren berdasarkan data masa nyata dan maklumat berterusan yang dikumpul sejak pelancarannya.

“Kerja yang dijadualkan ini penting bagi memastikan sistem beroperasi dengan responsif yang optimum, keselamatan dan kebolehpercayaan jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata, KLIA juga sedang melabur dalam penambahbaikan teknikal lain seperti loji pencucian kenderaan automatik (AVWP) dengan AVWP baharu akan dioperasikan di atas landasan.

Jelasnya, pengoperasian AVWP baharu ini menandakan yang pertama untuk Aerotren KLIA bagi menggantikan kaedah pencucian manual sebelum ini.

“Penambahbaikan berterusan ini mencerminkan pendekatan kami yang proaktif dalam penyelenggaraan infrastruktur dan kualiti perkhidmatan.

“Kesemua inisiatif ini menegaskan tekad kami untuk memberikan pengalaman perjalanan yang lancar dan boleh dipercayai di KLIA,” katanya.

Sejak operasi bermula pada 1 Julai, Aerotren mengangkut lebih dua juta penumpang, mencatatkan lebih 1,100 jam perkhidmatan dan melengkapkan 18,800 perjalanan.

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan