DUNIA

Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi Susulan Prestasi Eksport Lebih Kukuh

15/08/2025 09:51 PM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives (BMD) ditutup lebih tinggi pada Jumaat, disokong oleh prestasi eksport yang lebih kukuh seperti yang dinyatakan oleh pemeriksa kargo, kata peniaga minyak sawit David Ng.

Menurut pemeriksa kargo, Intertek Testing Services (ITS), eksport bagi separuh pertama Ogos dijangka meningkat sebanyak 16 peratus manakala Amspec menjangkakan naik 21 peratus berbanding tempoh yang sama pada Julai.

Namun, Ng berkata, jangkaan peningkatan pengeluaran dalam beberapa minggu akan datang memberi tekanan kepada sentimen pasaran.

“Kami melihat harga paras sokongan pada RM4,380 setiap tan dan paras rintangan pada RM4,500 setiap tan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata eksport minyak sawit Malaysia yang kukuh pada Ogos, bersama-sama dengan kebangkitan semula permintaan dari China, menyokong harga minyak sawit hari ini walaupun pasaran minyak kacang soya lemah pada malam sebelumnya di Chicago Board of Trade.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Ogos 2025 kekal tidak berubah pada RM4,338 setiap tan, kontrak September 2025 meningkat RM67 kepada RM4,425 setiap tan dan kontrak Oktober 2025 naik RM69 kepada RM4,472 setiap tan.

Kontrak November 2025 menokok RM75 kepada RM4,511 setiap tan, kontrak Disember 2025 melonjak RM78 kepada RM4,528 setiap tan manakala kontrak Januari 2026 berkembang RM75 kepada RM4,526 setiap tan.

Jumlah dagangan merosot kepada 81,890 lot daripada 88,920 lot pada Khamis manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 249,718 kontrak daripada 244,194 kontrak sebelumnya.

Harga fizikal MSM untuk Ogos Selatan naik RM30 kepada RM4,400 setiap tan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan