SUKAN

Piala FA: Tewaskan KL City FC Bukan Tiket Selesa - Jurulatih Kelantan TRW

19/08/2025 08:27 AM

KOTA BHARU, 18 Ogos (Bernama) -- Ketua Jurulatih Kelantan The Real Warriors (TRW) E. Elavarasan mahu pemainnya terus memberi tumpuan kepada perlawanan Liga Super walaupun berjaya menewaskan KL City FC pada aksi pertama saingan Piala FA di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, semalam.

Elavarasan berkata kemenangan 3-1 di halaman sendiri bukanlah keputusan selesa kerana pasukan akan bertandang ke gelanggang lawan dalam aksi timbal balik pada pertengahan September depan.

"Sebarang keputusan boleh berlaku apabila kita bertandang di halaman lawan," katanya pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini malam tadi.

Pada perlawanan itu, ketua pasukan Kelantan TRW Ifedayo menyumbangkan dua gol pada minit ke-4 dan ke-14 dan satu gol lagi dijaringkan oleh S. Selvaraj pada minit ke-62, manakala gol sagu hati KL City FC pula dijaringkan oleh Mohamed Syamer Kutty minit ke-85.

Elavarasan juga mahu pemain melakukan persediaan untuk berdepan Sabah FC pada saingan Liga Super yang akan berlangsung dalam masa terdekat. 

Sementara itu, Ketua Jurulatih KL City FC Vidakovic Risto berkata walaupun tewas, pasukannya tidak berputus asa untuk merebut slot ke peringkat seterusnya. 

"Kita ada 90 minit lagi, apa-apa keputusan boleh berlaku, kami memerlukan kemenangan 2-0 bagi mengubah keputusan sekali gus memastikan kami layak ke peringkat seterusnya.

"Saya percaya dengan kemampuan pemain, mereka boleh melakukan sesuatu untuk memperoleh kemenangan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan