Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) – Pihak berkuasa kereta api Kazakhstan dan Malaysia sedang berusaha membangunkan rangkaian rel logistik perdagangan terus bagi membolehkan peningkatan perdagangan kedua-dua negara.
Duta Kazakhstan ke Malaysia Bulat Sugurbayev berkata, laluan itu boleh memudahkan eksport Malaysia ke pasaran yang menguntungkan seperti Rusia, Kesatuan Eropah, Iran dan pasaran utama lain yang berhampiran dengan Kazakhstan.
Beliau berkata, laluan ini merupakan alternatif yang lebih baik dan lebih kompetitif dari segi kos berbanding laluan laut yang mengambil masa lebih lama dan kadang kala terganggu akibat ketegangan geopolitik.
“Ia juga berpotensi meningkatkan pelancongan di antara kedua-dua negara,” katanya kepada pemberita selepas muncul sebagai tetamu dalam program “The Nation” terbitan Bernama TV yang dihoskan oleh Jessy Chahal.
Sehubungan itu, pihak berkuasa kereta api Kazakhstan, Kazakhstan Temir Zholy (KTZ) mengadakan perbincangan dengan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) bagi meneroka kemungkinan kerjasama dalam membangunkan rangkaian rel terus di antara kedua-dua negara.
Sugurbayev berkata pengeksport Malaysia boleh menggunakan Pelabuhan Khorgos di Kazakhstan yang dianggap sebagai pelabuhan kering terbesar di dunia dan pintu masuk ke China melalui rangkaian rel dari Kazakhstan.
Beliau berkata, sambungan rel itu juga akan menghubungkan Kazakhstan dengan negara-negara ASEAN melalui China yang berpotensi meningkatkan aktiviti ekonomi antara negara-negara berkenaan.
“Kami berbincang dengan kepimpinan KTMB mengenai potensi untuk meneroka dan membangunkan rangkaian logistik dari Malaysia ke China dan seterusnya ke Kazakhstan serta menggunakan Kazakhstan sebagai pintu masuk kargo darat ke pasaran utama.
"Kami menantikan kunjungan KTMB ke Kazakhstan, mungkin tahun ini atau tahun hadapan untuk bertemu dengan KTZ bagi bertukar pandangan dan merangka langkah-langkah yang diperlukan bagi menghubungkan rangkaian kami,” katanya.
Beliau berkata, pengenalan ASEAN Express iaitu laluan kereta api kargo yang menghubungkan Selangor ke Chongqing di barat daya China, boleh menjadi batu loncatan bagi rantau ini untuk memperluaskan rangkaian sambungan rel ke China.
“Malaysia menyaksikan pertumbuhan kukuh dalam sektor kereta api sepanjang dekad lepas dengan membangunkan infrastruktur bagi meningkatkan keterhubungan domestik, mengukuhkan hubungan dalam ASEAN dan mempertingkatkan sambungan dengan China.
“ASEAN Express menunjukkan keterhubungan boleh menjadi lebih pantas. Malah, sekarang, barangan Malaysia boleh bergerak dengan cepat melalui China ke Kazakhstan dan dari situ terus ke Eropah dan Timur Tengah iaitu melalui utara menerusi Rusia, barat melalui Laut Caspian dan Koridor Tengah serta selatan melalui Turkmenistan ke Iran,” katanya.
Pelabuhan Khorgos berfungsi sebagai hab untuk keterhubungan berbilang mod.
Sebagai insentif kepada pelabur dan syarikat infrastruktur Malaysia, beliau berkata, pelabuhan kering di Kazakhstan juga merupakan zon perdagangan bebas yang membolehkan ekonomi bertukar barangan dan perkhidmatan dengan lebih cepat dan kompetitif.
Beliau memberi contoh bagaimana China menggunakan Kazakhstan untuk menghubungkan barangan mereka ke pasaran Eropah dengan masa keterhubungan yang jauh lebih pantas berbanding laluan laut.
Oleh itu, katanya, rangkaian hubungan antara Kazakhstan, China, ASEAN dan Malaysia mempunyai potensi yang besar.
Zon perdagangan bebas dan peluang pelaburan
Sugurbayev menggesa syarikat-syarikat Malaysia untuk meneroka peluang pelaburan di Kazakhstan, memandangkan iklim pelaburannya yang kompetitif disokong oleh insentif kerajaan dan proses yang lebih mudah.
Katanya, Malaysia boleh mendapat manfaat daripada Kazakhstan melalui tanahnya yang luas, sumber semula jadi yang banyak, populasi yang berpendidikan tinggi serta pembaharuan undang-undang yang sedang dijalankan.
Sebaliknya, jelasnya lagi, pelabur Malaysia boleh menyumbang kepakaran, pemprosesan maju dan keupayaan nilai tambah.
"Inilah sebabnya Kazakhstan secara aktif memberikan insentif pelaburan yang mewujudkan pekerjaan dan menambah nilai secara tempatan.
“Bagi Malaysia, memandangkan kekuatannya dalam bidang elektrik dan elektronik (E&E), serta pembangunan infrastruktur, peluang yang merangkumi pelbagai sektor,” katanya.
Beliau menambah, melalui Pusat Kewangan Antarabangsa Astana (AIFC), perniagaan Malaysia boleh beroperasi di bawah undang-undang biasa, menggunakan bahasa Inggeris dengan hakim-hakim dari Britain kerana ini menghapuskan keperluan untuk berdepan undang-undang, bahasa atau sistem perakaunan yang tidak dikenali.
“Setelah barangan tiba di Kazakhstan, ia berada dalam zon perdagangan bebas. Bagi syarikat Malaysia yang mengeksport ke China atau pasaran lain, satu pilihan iaitu mewujudkan kehadiran di Kazakhstan dengan menubuhkan syarikat, mengimport barangan dan beroperasi dari gudang di sini.
“Oleh itu, pelabur boleh berdagang dengan bebas dalam Kesatuan Ekonomi Eurasia serta mendapat akses ke pasaran di Rusia, EU dan juga Iran melalui laluan pengangkutan yang cekap,” kata Sugurbayev.
Beliau berkata, kedutaan di sini sedia membantu rakyat Malaysia dengan visa perniagaan dan panduan. “Di bawah pembaharuan yang diketuai oleh presiden baharu kami, Kassym-Jomart Tokayev, negara ini sedang berusaha mewujudkan ekonomi pasaran yang boleh diramal dan terbuka dengan hak milik yang dilindungi serta memastikan perniagaan berasa selamat sambil memanfaatkan kedudukan strategik perdagangan kami,” tambahnya.
Kazakhstan dengan populasi kira-kira 20 juta orang apabila 70 peratus merupakan Islam, bersempadan dengan Rusia di utara, Laut Caspian di barat daya, Turkmenistan, Uzbekistan dan Republik Kyrgyz di selatan serta China di timur.
Eksport utamanya merupakan minyak, gas asli dan komoditi lain dan ia juga merupakan pengeluar utama gandum.
Dari Januari hingga November 2024, jumlah perdagangan antara kedua-dua negara berjumlah US$134.7 juta (RM619.6 juta).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial