AM

Agong Berkenan Pandu Uji ETS Dari Kuala Lumpur Ke Rawang

19/08/2025 03:23 PM

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan memandu Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dari Kuala Lumpur ke Rawang.

Menurut hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda berangkat tiba di Stesen Keretapi Kuala Lumpur pada 9.15 pagi sebelum berkenan memasuki kokpit ETS2 untuk dipersembahkan taklimat pemanduan oleh Kapten Roslan, Kapten Hairul Yani dan Kapten Syukri Ghazali.

Turut bersama dalam sesi taklimat ialah Ketua Kawalan Operasi KTMB Sadun Abdullah dan Inspektor Lokomotif Kamal Asmawi.

Mengiringi Seri Paduka Baginda dalam pemanduan selama sejam itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Tan Sri Dr Azmi Rohani serta Ketua Pegawai Teknikal merangkap Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KTMB Ahmad Nizam Mohamed Amin.

Sultan Ibrahim sebelum ini mencatat sejarah apabila diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai Sultan pertama di negara ini memiliki Lesen Memandu Lokomotif Berkuasa Tinggi Kelas 26 pada 2010 dan pernah memandu kereta api pada program Kembara Mahkota Johor (KMJ 2010).

Seri Paduka Baginda memperoleh lesen memandu kereta api serta melakukan prosedur turn table bagi memusingkan lokomotif 86 tan dalam tempoh 10 minit di Stesen Gemas, Negeri Sembilan, sekali gus diiktiraf sebagai sultan pertama memandu kereta api sejauh 391.3 kilometer selama tiga hari.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan