EKONOMI

Krishnan Tan : Saya Telah Bekerjasama Sepenuhnya Dengan Pihak Berkuasa

08/02/2026 08:12 PM

KUALA LUMPUR, 8 Feb (Bernama) -- Pengerusi bukan eksekutif IJM Corporation Bhd, Tan Sri Krishnan Tan berkata beliau telah bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa dan akan terus berbuat demikian dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau melalui satu kenyataan hari ini menafikan penglibatannya dalam operasi harian dan pengurusan syarikat itu.

“Saya telah memberi kerjasama penuh dengan pihak berkuasa dan akan terus berbuat demikian. Saya mempunyai keyakinan sepenuhnya terhadap proses penguatkuasaan dan undang-undang negara.

“Pada ketika ini, adalah tidak wajar untuk saya mengulas lanjut memandangkan siasatan sedang berjalan,” katanya.

Sementara itu, melalui satu kenyataan berasingan, IJM Corp berkata syarikat itu telah bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dengan memberi maklum balas segera kepada semua permintaan selain maklumat mengenai kakitangan berkaitan, berhubung siasatan yang sedang dijalankan oleh SPRM.

Lembaga pengarahnya memberi jaminan kepada semua pihak berkepentingan bahawa operasi perniagaan syarikat itu diteruskan seperti biasa.

IJM telah mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan perniagaan kumpulan itu dijalankan dengan integriti dan bebas rasuah. 

Kumpulan itu menegaskan ia telah mewujudkan prosedur yang mencukupi termasuk mengekalkan rangka kerja tadbir urus yang teguh seperti pelaksanaan Sistem Pengurusan Anti-Sogokan yang diperakui ISO 37001:2025.

Lembaga pengarah dan pasukan pengurusannya tetap fokus pada kesinambungan perniagaan, mengekalkan keyakinan di kalangan pelanggan dan rakan kongsi serta menegakkan tadbir urus korporat dan piawaian pematuhan yang terbaik.

“Memandangkan perkara ini sedang dalam siasatan, syarikat tidak akan membuat ulasan lanjut pada peringkat sekarang.

“Syarikat akan menyediakan kemas kini yang bersesuaian dan mengikut keperluan undang-undang serta peraturan yang terpakai,” kata IJM Corp.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan