AM

Badan Peguam Malaysia Berkabung Atas Pemergian Tun Abdul Hamid

19/02/2026 07:12 PM

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Badan Peguam Malaysia menyampaikan ucapan takziah yang mendalam atas pemergian bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad, yang meninggal dunia hari ini bersamaan dengan 1 Ramadan 1447H.

Presiden Badan Peguam Malaysia Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata Allahyarham telah berkhidmat dalam Badan Kehakiman dengan cemerlang selama beberapa dekad.

Beliau berkata tempoh perkhidmatan Allahyarham di Mahkamah Persekutuan menandakan kemuncak kerjaya kehakiman yang ditakrifkan dengan disiplin, kejelasan penghujahan dan pematuhan tegas terhadap struktur perlembagaan.

“Penghakiman beliau terus dikaji kerana ketepatan dan keterusterangannya, mencerminkan seorang hakim yang percaya undang-undang mesti dilaksanakan dengan ketelitian dan tanpa rasa takut atau pilih kasih,” kata Mohamad Ezri dalam kenyataan itu.

Beliau berkata ramai dalam komuniti perundangan akan mengingati slogan beliau yang sering diulang agar sekadar “buat kerja”.

“Frasa itu membawa makna yang besar kerana beliau percaya institusi memperoleh penghormatan melalui pelaksanaan tugas yang konsisten dan cekap, dengan para hakim menulis penghakiman mereka dan para peguam menyediakan kes masing-masing.

“Setiap pihak mesti melaksanakan peranan mereka dengan integriti. Ketegasan terhadap disiplin profesional itu bergema pada ketika itu dan terus bergema sehingga hari ini,” katanya.

Allahyarham dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1 Mei 1990, Hakim Mahkamah Tinggi (1992), Hakim Mahkamah Rayuan (1 Sept 2000) dan Hakim Mahkamah Persekutuan (1 Ogos 2003).

Allahyarham kemudian berkhidmat sebagai Ketua Hakim Negara dari Disember 2007 hingga Oktober 2008.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan