AM

Tengku Mahkota Pahang Berkenan Ziarah Waris Lima Sekeluarga Terbunuh Di Cerating

19/02/2026 11:18 PM

KUANTAN, 19 Feb (Bernama) -- Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan berangkat menziarahi waris kepada lima sekeluarga yang maut dalam kejadian menyayat hati di Taman Cerating Damai di sini, hari ini. 

Kesultanan Pahang dalam hantaran di Facebook memaklumkan Tengku Hassanal turut berkenan menyantuni dan mengurniakan sumbangan kepada waris keluarga berkenaan. 

“Turut hadir mengiring ialah Pegawai Daerah Kuantan Datuk Sharudin Jali dan Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Ashari Abu Samah,” menurut hantaran itu. 

Semalam, media melaporkan jenazah lima sekeluarga yang terlibat dalam insiden pembunuhan di kawasan perumahan Cerating Damai pada Selasa itu, selamat dikebumikan dalam dua liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Budaya Cerating di sini pada 7.20 malam.

Tuan Kamaria Tuan Puteh, 56, dikebumikan bersama menantunya, Nurul Asshiykin Kamarulzaman, 33, serta dua cucu iaitu Nur Sumayyah Humairah, 2, dan Nur Saffiyah Humairah, 5, dalam satu liang lahad.

Jenazah anak lelaki Tuan Kamaria yang berusia 32 tahun, dikebumikan secara berasingan beberapa meter dari kubur berkenaan dalam kawasan tanah perkuburan yang sama.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan