KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Sempena hari pertama Ramadan dan cuti sekolah, umat Islam memanfaatkan peluang berbuka puasa di luar bersama keluarga serta rakan-rakan, sekali gus menyemarakkan semangat ukhuwah di bulan mulia ini.
Tinjauan Bernama di beberapa negeri mendapati orang ramai memilih untuk menikmati suasana berbuka secara santai di kawasan lapang dan ikonik selain berkongsi juadah dengan pengunjung lain bagi menambah kemeriahan.
Di IBU NEGARA, walaupun cuaca di Dataran Merdeka mendung petang ini, orang ramai tetap memenuhi kawasan padang bersejarah itu seawal 6.30 petang bagi menantikan waktu maghrib.
Mereka mengambil pendekatan berkelah dengan membawa tikar dan bekalan makanan dari rumah selain membeli pelbagai juadah dari bazar Ramadan di kawasan sekitar.
Rohani Mahmud, 51, dari Alor Setar, Kedah, berkata dia sengaja datang ke Kuala Lumpur untuk berbuka puasa sambil berkelah di Dataran Merdeka bersama anak-anak yang kebetulan kesemua mereka bekerja di ibu negara.
Di TERENGGANU, Dataran Shahbandar, Dataran Jambatan Angkat (Drawbridge), Lagun Kuala Ibai dan Pantai Batu Buruk antara lokasi popular yang menjadi tumpuan orang ramai berbuka puasa bersama keluarga.
Pengunjung, Nurul Nabila Asyikin Zaizuri, 25, dari Program Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran di Kuala Terengganu, berkata dia serta suami gemar berbuka puasa di luar kerana suasana lebih meriah dan dapat melihat pelbagai gelagat manusia.
"Dalam kereta memang ada tikar dan kami bawa air basuh tangan siap-siap. Sejak kahwin kami selalu berbuka di Dataran Shahbandar tetapi kalau jemu atau ramai sangat orang, tukar tempat lain pula," katanya.
Di PULAU PINANG tinjauan di Kawasan Rehat Bagan Ajam mendapati lokasi tumpuan itu meriah dengan kehadiran orang ramai yang membawa keluarga untuk berbuka puasa meskipun cuaca hujan sekitar 6 petang tadi.
Pengunjung, Irwan Mohd Noor, 42, yang datang dari Sungai Petani, Kedah bersama isteri dan dua anak, berkata biasanya hari pertama Ramadan mereka sekeluarga akan berbuka puasa di rumah tetapi tahun ini memilih untuk berbuka di luar memandangkan hari ini dia bercuti.
Di PAHANG, orang ramai tidak melepaskan peluang berbuka puasa sambil dikelilingi seni bina ikonik seperti Masjid Negeri, Mahkota Square dan Kuantan 188 di Padang Majlis Bandaraya Kuantan 1.
Pekerja swasta, Nur Fateeha Fahkrul Nizam, 24, dan Ainur Safiya Ahmad, 26, ketika ditemui berkata mereka mengambil peluang berbuka puasa di lokasi berkenaan sebelum pulang ke rumah selepas habis kerja.
Sementara menunggu azan maghrib berkumandang pada 7.24 malam, tinjauan Bernama mendapati pelbagai aktiviti menarik bagi kanak-kanak dapat dilakukan seperti bermain di istana belon dan layang-layang.
Di PERLIS, tinjauan di Masjid Al Hussain, Kuala Perlis, mendapati suasana berbuka puasa di masjid terapung itu terus menjadi tumpuan orang ramai yang mahu menikmati keindahan matahari terbenam di pesisir pantai.
Orang ramai mula memenuhi kawasan pekarangan masjid pada 6.30 petang dengan membawa juadah masing-masing selain ada yang mengambil kesempatan membeli makanan di bazar sebelum berkumpul bersama keluarga dan rakan-rakan.
Nurliyana Amiruddin, 35, yang berasal dari Kangar berkata dia bersama suami dan keluarga memilih untuk berbuka puasa di masjid itu kerana suasananya tenang dengan pemandangan laut yang memukau.
Suasana sedikit berbeza di MELAKA apabila lokasi tumpuan orang ramai didapati lengang susulan hujan di kebanyakan tempat di negeri itu sejak petang tadi, antaranya Dataran Orang Kampung Merlimau yang kebiasaannya menjadi pilihan keluarga serta golongan muda setiap tahun untuk berbuka puasa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial