PUTRAJAYA, 4 Mac (Bernama) -- Kerajaan yakin Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun akan diluluskan Parlimen pada sidang akan datang.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Ketua Whip Kerajaan berkata ia bersandarkan sokongan majoriti ahli Parlimen terhadap cadangan reformasi berkenaan, meskipun RUU itu tidak memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Parlimen, Isnin lepas.
Beliau berkata kebanyakan ahli Parlimen yang tidak hadir semasa proses pengundian menyatakan sokongan terhadap RUU itu.
“Dua ahli Parlimen telah menghantar surat rasmi menjelaskan sebab ketidakhadiran mereka, manakala beberapa yang lain turut memaklumkan perkara sama secara lisan.
"Ada yang terkandas di luar negara disebabkan penerbangan tak ada... kecuali Bukit Gantang (Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal) yang mengatakan dia tidak bersetuju, yang lain semua menyokong cuma kebetulan keadaan pada waktu itu mereka tidak dapat hadir,” katanya.
Fadillah berkata demikian kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) di sini hari ini.
Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil berkata RUU itu akan dibentang semula pada sesi Dewan Rakyat Jun ini selepas ia dipersetujui mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Fadillah berkata langkah mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri menunjukkan komitmen Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Anwar untuk melakukan reformasi kepada sistem pentadbiran negara.
Beliau turut menegaskan bahawa cadangan tersebut tidak menyentuh kuasa Yang di-Pertuan Agong mahupun institusi Raja-Raja Melayu.
Keputusan undi belah bahagi RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 itu menyaksikan 146 Ahli Parlimen bersetuju, 32 tidak hadir dan 44 lagi tidak mengundi.
Pindaan Perlembagaan berkenaan memerlukan sokongan sekurang-kurangnya dua pertiga, iaitu 148 Ahli Parlimen untuk diluluskan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial