JENAYAH & MAHKAMAH

PGA Rampas Kaolin, Mesin Dan Jentera Bernilai Lebih RM6 Juta

13/03/2026 03:05 PM

IPOH, 13 Mac (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 45,000 tan kaolin serta pelbagai jenis mesin dan jentera dianggarkan bernilai RM6.26 juta menerusi Ops Bersepadu Khazanah di sebuah kilang disyaki beroperasi secara haram di sini, semalam.

Komander Briged Utara PGA SAC Balveer Singh Mahindar Singh berkata operasi bersama-sama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh juga menahan pengarah syarikat kilang berusia 40-an serta lima pekerja asing termasuk seorang wanita dipercayai terlibat memproses bahan mineral itu.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut ke atas kilang yang beroperasi sejak setahun lepas menjumpai sejumlah besar tanah berwarna putih atau dikenali sebagai kaolin yang sedang diproses serta beberapa mesin dan jentera digunakan dalam pemprosesan itu. 

“Modus operandi kilang ini ialah membeli tanah putih campuran dari kawasan kuari kaolin dan diproses dengan menapis, mencuci dan memampatkan serta mengasingkan tanah mineral itu kepada pasir dan kaolin tulen untuk meningkatkan kualitinya. 

“Apabila selesai, kaolin yang telah menjadi gred tinggi akan dijual dengan harga lebih tinggi untuk pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Balveer berkata JMG Perak menjalankan siasatan bagi kesalahan memproses bahan mineral secara haram mengikut Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Perlesenan) 2016 dan Akta Pembangunan Mineral 1994 (Akta 525).

Selain itu, siasatan juga dijalankan terhadap pengarah syarikat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji pendatang asing tanpa izin. 

Dua pekerja asing disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri manakala tiga lagi mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan