KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- IJM Corporation Bhd menjelaskan sebarang perbincangan Sunway Bhd yang mungkin telah diadakan dengan mana-mana pemegang saham sebelum pengumuman tawaran pengambilalihan sukarela (VTO), dibuat tanpa pengetahuan atau penglibatan lembaga pengarah atau pengurusannya.
Menurut kenyataan IJM hari ini, penjelasan itu dibuat susulan laporan media mengenai kenyataan pengasas Sunway dan pemegang saham 59.4 peratus Tan Sri Jeffrey Cheah Fook Ling, yang mendedahkan perbincangan awal dengan institusi berkaitan perkara itu sebagai menggalakkan.
Cheah berkata apabila Sunway mengemukakan cadangannya buat kali pertama pada awal Januari, maklum balas daripada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) secara umumnya positif, dengan banyak pihak mengakui rasional komersial di sebalik cadangan itu.
IJM turut menyentuh kenyataan mengenai kelebihan pihaknya dalam pembinaan awam termasuk kemungkinan membida projek Transit Aliran Massa (MRT) atau Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang selain Sunway menumpukan kepada pusat data.
Menurut IJM kenyatan itu mencadangkan kemungkinan penentuan peranan antara kedua-dua kumpulan dengan IJM akan menumpukan projek awam dan infrastruktur manakala segmen pesat berkembang seperti pusat data dilaksanakan oleh Sunway.
Sebarang kekangan terhadap penyertaan IJM dalam segmen perniagaan atau kontrak tertentu boleh menimbulkan kebimbangan dan mungkin bukan menjadi kepentingan terbaik bagi baki pemegang saham IJM, menurut IJM.
Sehubungan itu, IJM mengulangi gesaan kepada pemegang saham untuk merujuk kepada Pekeliling Nasihat Bebas bertarikh 13 Mac, 2026, dengan Penasihat Bebas, M&A Securities Sdn Bhd membuat kesimpulan bahawa tawaran tersebut "adalah tidak adil dan tidak munasabah".
"Lembaga pengarah turut mengulangi saranan supaya pemegang saham menolak tawaran itu. Tawaran itu juga perlu dinilai dalam konteks strategik yang sewajarnya," jelas IJM.
IJM menjelaskan pihaknya berada pada peringkat kitaran pelaburan yang pelbagai dengan aset utama seperti konsesi infrastruktur beralih daripada fasa pembangunan ke fasa operasi.
Syarikat itu juga menekankan perbandingan yang hanya berdasarkan margin semasa atau pendapatan jangka masa pendek yang tidak mencerminkan sepenuhnya nilai atau potensi masa depan IJM.
Oleh itu, pemegang saham dinasihatkan untuk menilai tawaran Sunway berdasarkan Pekeliling Nasihat Bebas, pengumuman rasmi syarikat serta nilai asas, kedudukan strategik dan prospek IJM.
Pada 12 Jan, 2026 Sunway mencadangkan VTO bersyarat untuk mengambil alih keseluruhan 3.51 bilion saham dalam IJM pada harga tawaran RM3.15 sesaham.
Pada 16 Mac, Permodalan Nasional Bhd memutuskan untuk menolak VTO daripada Sunway bagi pegangan 13.5 peratusnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial