AM

Universiti Sunway Perkasa Kreativiti, Pembelajaran Sepanjang Hayat Menerusi Kerjasama Industri

07/04/2026 08:14 PM

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Fakulti Seni dan Sains Sosial (FASS) Universiti Sunway (FASS) mencatat satu lagi pencapaian selepas memeterai kerjasama dengan tujuh peneraju industri dalam bidang seni, media dan kreatif. 

Dalam kenyataan hari ini, Universiti Sunway memaklumkan kerjasama tersebut melibatkan FASS dengan Sony Malaysia, Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) dan Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kementerian Ekonomi Kreatif atau Agensi Ekonomi Kreatif (EKRAF) Republik Indonesia, Sunway Square Mall, Sunway Lagoon, Euroasia Association of Performing Arts serta Kuala Lumpur City Opera (KLCO).

“Kerjasama unik ini dibentuk berasaskan hasrat bersama untuk menghubungkan pendidikan dengan amalan sebenar, sekali gus mewujudkan peluang kepada pelajar untuk terlibat secara langsung dengan pihak industri melalui latihan industri, projek kolaboratif, bengkel dan produksi secara langsung,” menurut kenyataan itu.

Seiring dengan langkah memperluaskan kampus di  Sunway Square, fakulti tersebut melangkah ke fasa baharu dengan kemudahan yang dibina khas dan berteknologi tinggi.

Kini, ia menjadi sebahagian daripada hab kreatif yang dinamik, dengan menawarkan ruang untuk perkongsian, persekitaran kerja kolaboratif dan aliran interaksi yang lebih segar

Sementara itu, Dekan FASS Prof Mayco A. Santaella berkata kerjasama itu merupakan satu pencapaian penting buat fakulti berkenaan.

“Ia membolehkan kita meletakkan pembelajaran dalam konteks yang kreatif, dengan pelajar berpeluang terlibat secara langsung dalam hasil kerja kreatif dan individu di sebaliknya,” katanya. 

Presiden dan Naib Canselor Universiti Sunway Prof Sibrandes Poppema pula berkata kerjasama kukuh dengan pemain industri terus menjadi teras dalam usaha universiti itu mempersiapkan pelajarnya. 

“Melalui kerjasama rapat dengan industri, kami dapat memastikan pendidikan kekal relevan dan berasaskan amalan sebenar,” katanya. 

Sebagai universiti generasi kelima, Universiti Sunway sentiasa berusaha menyesuaikan pendekatannya dengan perubahan dalam dunia pendidikan, di mana aspek relevan, keterbukaan dan hubungan dengan dunia sebenar semakin penting, seiring Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035.

Menurut kenyataan itu, di Sunway Square visi tersebut direalisasikan apabila FASS berjaya menghubungkan pembelajaran dengan industri, sekali gus membantu graduan bersedia menghadapi dunia pekerjaan dengan yakin.

“Ini adalah satu langkah penting bagi Universiti Sunway dan fakulti ini, bukan sahaja kerana lokasinya tetapi juga kerana penglibatannya dalam ekosistem yang menyokong kreativiti dan pembelajaran sepanjang hayat,” menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan