AM

UniSZA Sasar Mahasiswa Jana Pendapatan RM6,000 Sebulan Tanam Melon Manis Terengganu

06/04/2026 05:55 PM

JERTIH, 6 April (Bernama) -- Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menyasarkan pelajar yang terlibat dalam program tanaman melon Manis Terengganu, mampu menjana pendapatan sehingga RM6,000 sebulan.

Naib Canselornya Profesor Datuk Dr Fadzli Adam berkata sasaran itu dibuat sekiranya bilangan rumah hijau untuk tanaman melon tersebut dapat ditingkatkan daripada empat unit kepada 20 unit pada masa hadapan.

“Pihak universiti dalam usaha meningkatkan jumlah rumah hijau tersebut melalui kerjasama dengan CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic) dan Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM).

“Setakat ini mahasiswa yang terlibat dalam program menanam melon di bawah Program Melon Manis Terengganu Agrofreneur UniSZA memperolehi pendapatan purata antara RM2,000 hingga RM 3,000 sebulan bagi setiap pelajar,” katanya selepas Majlis Pelancaran  Kohort ke-2 iTEKAD CIMB Islamic Melon Manis Terengganu Graduate Agropreneur dan dua unit rumah hijau baharu di UniSZA Kampus Besut, di sini hari ini. 

Majlis itu dirasmikan Pengerusi CIMB Group Datuk Syed Zaid Albar dan turut dihadiri Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM Datuk Mohd Fadzli Yusof.

Fadzli berkata setakat ini melalui empat unit rumah hijau, ia hanya mampu mengeluarkan sebanyak 15,000 hingga 20,000 melon untuk tempoh satu musim iaitu selama tiga bulan.

“Sekiranya bilangan rumah hijau bertambah, kita sasarkan pengeluaran buah melon meningkat antara 20,000 hingga 24,000 biji sebulan, sekali gus dapat meningkatkan pendapatan mahasiswa kepada RM5,000 hingga RM6,000 sebulan dan menjadikan mereka memperolehi pendapatan bertaraf gaji premium.

“Selain itu, sebanyak 20 mahasiswa yang dipilih menyertai program menanam melon sejak 2023 bagi setiap fasa itu, terdiri daripada kalangan asnaf dan setiap kumpulan akan mengusahakan tanaman itu selama setahun sebelum diganti kumpulan mahasiswa lain pada fasa seterusnya,” katanya.

Beliau berkata pihak UniSZA amat menghargai sumbangan CIMB Islamic berjumlah RM750,000 bagi program berkenaan sejak ia dilaksanakan, dalam usaha memacu pertumbuhan pertanian moden selain kerjasama YDSM.

Sementara itu, seorang pelajar yang terlibat dalam program berkenaan Muhammad Shahril Izhar Rohzalmie, 23, berkata dia amat bersyukur kerana terpilih mengikuti program tersebut.

Beliau berkata selain memperoleh pelbagai ilmu pengetahuan berkaitan tanaman melon, pemasaran dan pengurusan kewangan, dia juga menjana pendapatan sampingan sehingga RM3,000 sebulan. 

“Program ini membuka minda saya bahawa pertanian moden boleh menjana pendapatan lumayan serta mengusahakan melon Manis Terengganu tidaklah begitu rumit,” kata pelajar tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Tani itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan