IPOH, 6 April (Bernama) -- Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 25 Jun depan untuk mengetahui perkembangan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kes Muhammad Riduan Abdullah yang didakwa gagal menyerahkan anak bongsunya, Prasana Diksa kepada bekas isterinya M. Indira Gandhi, 17 tahun lepas.
Prasana akan menyambut ulang tahun ke-18 pada Rabu ini.
Hakim Datuk Norsharidah Awang berkata tempoh selama dua bulan itu adalah bersesuaian untuk pihak polis melakukan siasatan lanjut termasuk menyemak semula maklumat Muhammad Riduan yang didakwa ada membuat pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada usianya 55 tahun.
Terdahulu, Peguam Persekutuan Safiyyah Omar memaklumkan mahkamah bahawa PDRM telah mengambil beberapa tindakan termasuk melakukan analisis forensik rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan transaksi kewangan Muhammad Riduan (dikenali sebagai K. Pathmanathan sebelum pengislamannya).
Beliau berkata rakaman itu, yang didakwa memaparkan Muhammad Riduan ketika mengisi petrol menggunakan inisiatif Budi MADANI 95 (BUDI95), tidak dapat diekstrak dengan jelas.
Safiyyah berkata polis juga telah menyemak dengan KWSP namun dimaklumkan bahawa maklumat pencarum tidak boleh didedahkan mengikut akta agensi berkenaan.
"Sebarang pendedahan maklumat tanpa persetujuan pencarum adalah melanggar akta tersebut,” katanya sambil menambah PDRM akan melakukan semakan lanjut dengan KWSP berhubung isu itu.
Peguam Rajesh Nagarajan, yang mewakili Indira, pula memaklumkan mahkamah bahawa afidavit terbaharu yang dikemukakan hari ini hanya memperinci transaksi pengisian petrol pada 24 Okt 2025 sedangkana dokumen terdahulu menyebut beberapa tarikh di sembilan lokasi.
Sementara itu, ASP Yap Siew Cheng dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak berkata hanya satu stesen minyak mempunyai rakaman CCTV itu manakala lapan lagi tidak berjaya diperoleh kerana sistem padam secara automatik atau auto delete selepas dua minggu.
Menyentuh mengenai laporan Muhammad Riduan memiliki dua kenderaan atas namanya, Yap berkata semakan mendapati cukai jalan bagi kedua-duanya tamat pada tahun 2018 dan 2019.
Di luar mahkamah, Indira berkata dia amat berharap untuk bertemu semula dengan Prasana selepas belasan tahun mereka berpisah.
“Saya hanya minta untuk bertemu dengannya… kami sudah menanti selama 17 tahun... dia telah diambil daripada saya ketika masih bayi, iaitu ketika berusia 11 bulan… tidak lama lagi, dia akan berusia 18 tahun, sudah dewasa… dan kami masih berharap dan terus berharap,” katanya.
Indira berkata ia bukan lagi soal dia mahukan anaknya semula atau mempersoalkan isu agama tetapi sebagai seorang ibu, dia hanya mahu melihat serta mengetahui perkembangan Prasana.
Pada 2009, Muhammad Riduan menukar agama tiga anak mereka kepada Islam tanpa persetujuan Indira dan memohon hak penjagaan di Mahkamah Syariah.
Pada 29 Jan 2018, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa penukaran agama ketiga-tiga anak Indira oleh bekas suaminya adalah batal dan tidak sah.
Mahkamah berkenaan turut mengarahkan Ketua Polis Negara menangkap Muhammad Riduan kerana mengingkari perintah Mahkamah Tinggi supaya menyerahkan anak perempuan bongsunya kepada Indira.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial