TUMPAT, 6 April (Bernama) -- Cuaca panas yang melanda beberapa negeri ketika ini ternyata memberikan manfaat, terutamanya kepada pengusaha ikan kering dan ikan bekok di Pantai Geting, di sini.
Pengusaha ikan kering, Wan Safiyyah Wan Yusoff, 48, berkata musim kemarau sekarang agak luar biasa kerana sebelum ini ikan yang dijemur mengambil masa dua hari untuk dikeringkan, namun kini hanya mengambil masa sehari.
"Ikan bekok pula, iaitu ikan yang diperam hanya mengambil masa kira-kira 20 minit untuk diproses. Saya biasanya mendapatkan bekalan ikan ini daripada nelayan tempatan dan ada yang diimport dari Thailand.
"Setiap bulan saya memproses kira-kira 100 kilogram ikan kering dan ikan bekok. Biasanya pada musim kemarau permintaan terhadap ikan kering agak rendah dan hanya laris pada musim tengkujuh berbanding ikan bekok yang sentiasa ada permintaan," katanya kepada pemberita di gerainya dekat Pantai Geting, di sini hari ini.
Wan Safiyyah berkata antara spesies ikan yang diproses olehnya ialah ikan gelama, kekek, pari, talang dan cencaru, manakala untuk ikan bekok pula ialah ikan gelama.
"Apabila sudah siap disiang, ikan akan diperam seketika dengan garam sebelum dijemur di tengah terik matahari. Proses ini sekarang lebih lancar kerana cuaca panas yang banyak membantu," katanya.
Wan Safiyyah yang turut dikenali sebagai 'Kak Yah Budu Paye' berkata kebanyakan pelanggan akan datang terus ke gerainya, atau membuat pembelian secara dalam talian.
Harga jualan untuk ikan kering ialah RM30 sekilogram, manakala ikan bekok pula berharga RM42 hingga RM50 sekilogram.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial