KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang membenarkan permohonan Kerajaan Persekutuan untuk menangguhkan perintah Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung semakan taksiran dan pembayaran Pemberian Khas Sabah adalah wajar serta berasas.
Penganalisis Sosiopolitik Universiti Malaya dan Felo Kanan Akademi Kenegaraan Malaysia Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi berkata penangguhan pelaksanaan bukan bermaksud menafikan hak Sabah sebaliknya memastikan bahawa proses rayuan berjalan dengan adil serta tidak menjejaskan kedudukan mana-mana pihak secara pramatang.
"Mahkamah mengambil kira faktor penting iaitu kemungkinan 'prejudis' kepada Kerajaan Persekutuan sekiranya keputusan Mahkamah Tinggi dilaksanakan serta-merta... dalam kes melibatkan implikasi kewangan besar seperti tuntutan 40 peratus hasil, pelaksanaan segera boleh mencetuskan kesan fiskal yang mendadak kepada negara.
"Ternyata keputusan Mahkamah Rayuan ini adalah sah dari sudut prosedur serta boleh dianggap wajar dan berasas namun ia bukan penyelesaian tetapi hanya penangguhan kepada penyelesaian sebenar," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Mohamed Zaini Mazlan, yang bersidang bersama-sama Datuk Ismail Brahim dan K. Muniandy, membenarkan penangguhan itu sementara menunggu penyelesaian rayuan.
Mohamed Zaini dalam penghakimannya berkata mahkamah berpuas hati bahawa wujud keadaan khas dan Kerajaan Persekutuan akan mengalami prejudis sekiranya penangguhan ditolak, dan rayuan itu boleh dianggap tidak berguna.
Pada 17 Okt tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan telah bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan dari 1974 hingga 2021.
Awang Azman berkata keputusan itu juga menunjukkan bahawa isu hak Sabah masih berpanjangan serta perlu diselesaikan berpaksikan semangat Perjanjian Malaysia 1963 yang dihormati secara konsisten, dan pada masa sama memastikan aspek perundangan secara menyeluruh sedang dilaksanakan.
"Dari sudut moral dan politik, keadilan substantif kepada Sabah harus dilihat sebagai keutamaan serta tidak boleh terus ditangguhkan terlalu lama," katanya.
Beliau juga berkata keputusan itu mempunyai implikasi yang kompleks baik dari sudut kestabilan mahupun persepsi politik.
Awang Azman berkata kesan positif bagi jangka pendek ialah memberi ruang kepada Kerajaan Persekutuan untuk menyusun strategi fiskal dan perundangan secara lebih tersusun, mengelak daripada kejutan kewangan besar yang boleh menjejaskan kestabilan ekonomi nasional.
"Pendekatan terbaik ke hadapan ialah menggabungkan proses kehakiman dengan rundingan politik berprinsip, mempercepat penyelesaian agar tidak berlarutan dan menunjukkan komitmen jelas bahawa hak Sabah bukan sekadar isu litigasi tetapi amanah Persekutuan," katanya.
Bagi pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar, pertelingkahan serta perbezaan pendapat antara pihak eksekutif dan persoalan bidang kuasa perundangan badan legislatif persekutuan dan negeri perlu diselesaikan oleh badan kehakiman.
"Apa yang penting ialah penyelesaian diselesaikan secara aman berdasarkan Perlembagaan dan undang-undang... malah kerjasama, kompromi dan tolak ansur dari segi politik serta pentadbiran dapat menyelesaikan masalah Perlembagaan dan perundangan.
"Pemikiran dual federalism sepatutnya dikembangkan kepada cooperative federalism apabila berhadapan dengan pertembungan kepentingan antara pusat dan negeri," katanya.
Sementara itu, Hakim Mahkamah Sesyen yang sudah bersara Mabel Sheela Victor Muttiah berkata penangguhan tersebut tidak menentukan merit tuntutan Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 sebaliknya membangkitkan persoalan undang-undang penting yang perlu diputuskan melalui rayuan penuh, dengan implikasi terhadap hubungan kewangan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri serta hak-hak perundangan.
Beliau juga berkata sehubungan dengan itu, sebuah mahkamah khas berkaitan perundangan perlu ditubuhkan bagi mengadili isu sedemikian.
Presiden Persatuan Undang-Undang Sabah Datuk Mohamed Nazim Maduarin pula berkata keputusan itu tidak mengetepikan dapatan Mahkamah Tinggi termasuk penemuan bahawa telah berlaku kegagalan untuk melaksanakan semakan berkala seperti yang dikehendaki di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
"Persatuan menegaskan bahawa keputusan ini bersifat prosedur dan isu-isu perlembagaan yang substantif termasuk tafsiran dan pelaksanaan sewajarnya Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, masih belum diputuskan dalam rayuan.
"Persatuan Undang-Undang Sabah akan terus mengambil bahagian dalam prosiding ini dan bertindak selaras dengan undang-undang serta rekod yang dikemukakan di hadapan mahkamah," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial