KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Pelajar Malaysia di luar negara secara keseluruhannya berada dalam keadaan selamat walaupun berdepan dengan situasi geopolitik semasa, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Zambry berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bekerjasama rapat dengan Kementerian Luar dalam memantau kebajikan dan keselamatan pelajar Malaysia di luar negara.
“Kita akan teruskan usaha membantu mereka dan apa sahaja bantuan akan dikendalikan berdasarkan kes demi kes,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Public-Private Research Network (PPRN) 2026 di sini, hari ini.
Beliau berkata situasi yang dihadapi pelajar berbeza mengikut negara termasuk dari segi jumlah dan cabaran setempat.
Dalam perkembangan lain, Zambry berkata KPT tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk rasuah di institusi pendidikan tinggi (IPT).
Beliau berkata sebarang isu melibatkan penyalahgunaan kuasa ataupun rasuah di mana-mana IPT sama ada pada peringkat universiti, politeknik dan sebagainya perlu dipandang serius tanpa mengira skala.
Zambry berkata KPT sentiasa memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menjalankan siasatan atau semakan kes, selain merujuk kepada Jabatan Audit Negara dalam perkara berkaitan penggunaan sumber kewangan dan pelaksanaan projek.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial