AM

Insiden Kayak: Ahli Parlimen Sibu Mahu SOP Aktiviti Berisiko Tinggi Disemak

07/04/2026 06:02 PM

SIBU, 7 April (Bernama) -- Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling Chai Yew menzahirkan kebimbangan dan rasa kesal berhubung kemalangan mengorbankan dua guru pelatih Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis pada Sabtu lepas.

Beliau berkata kemalangan tersebut mendedahkan kelemahan dalam pengurusan keselamatan dan menggesa pihak terlibat menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) berkaitan.

“Kementerian Pendidikan perlu menyelaras dan memperkukuh SOP aktiviti berisiko tinggi melibatkan semua IPG di seluruh negara, khususnya latihan di air dan luar.

“Pihak berkuasa juga perlu menjalankan siasatan menyeluruh serta memaklumkan hasil siasatan kepada umum selain memberi penjelasan sewajarnya kepada keluarga mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, beliau mencadangkan agar sistem kelulusan lebih ketat diwujudkan, termasuk penilaian profesional bebas sebelum sesuatu aktiviti dijalankan dengan mengambil kira faktor cuaca, persekitaran dan keselamatan peralatan.

“Garis panduan yang jelas perlu ditetapkan bagi menentukan situasi yang tidak membenarkan sesuatu aktiviti diteruskan, dan pihak bertanggungjawab mesti berani membatalkan aktiviti sekiranya syarat keselamatan tidak dipenuhi,” katanya.

Dalam kejadian Sabtu lepas, pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Pendidikan Jasmani, Christopher Ling Jia Siang, 21, dan Joey Ling Lin Siang, 20, ditemukan lemas pada kira-kira 7.30 malam semasa melakukan aktiviti berkayak di Pantai Merdeka, Sungai Petani, Kedah.

Difahamkan, mangsa lelaki berasal dari Kuching manakala mangsa wanita dari Sibu dibawa pulang ke Sarawak dengan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang hari ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan