KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini beliau tidak mengetahui mengenai pelantikan anak sulungnya, Nurul Iman, dalam dua syarikat yang didakwa berlaku sebelum dan selepas pelantikannya sebagai menteri.
Dzulkefly, 70, berkata anak perempuannya dilantik sebagai pengarah bukan eksekutif AIM Solutions Group Bhd (AIM Solutions) pada 30 April 2018, iaitu sebelum pelantikannya sebagai menteri pada Julai tahun sama.
Beliau berkata pelantikan Nurul Iman selaku ahli lembaga Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) pula ialah pada Oktober 2018, iaitu selepas beliau memegang jawatan menteri.
“Saya tidak mengetahui mengenai kedua-dua pelantikan itu,” kata Dzulkefly ketika ditanya peguam Datuk Seri Najib Tun Razak, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, pada hari pertama perbicaraan saman fitnah RM5 juta yang difailkannya terhadap bekas perdana menteri itu.
Dalam kenyataan saksinya, Dzulkefly berkata beliau tidak pernah campur tangan dalam pelantikan Nurul Iman di AIM Solutions.
“Saya langsung tidak mengetahui dia (Nurul Iman) ditawarkan, memohon atau dicari oleh pihak tertentu dan telah menerima jawatan sebagai pengarah bukan eksekutif dalam syarikat itu. Saya percaya pencapaiannya dalam syarikat berkenaan berdasarkan kepada keupayaan sendiri dan tiada kaitan dengan saya atau mana-mana individu lain.
“Seperti yang saya katakan, dia seorang wanita berwibawa. Untuk menjejaskan reputasi saya dan dia sama sekali tidak wajar,” kata Dzulkefly.
Ditanya oleh peguamnya, Stanley Sabastien Sinnappen, plaintif menyatakan Najib tidak menghubunginya sebelum memuat naik kenyataan yang didakwanya itu menerusi Facebook.
Najib hadir pada prosiding hari ini. Perbicaraan di hadapan Hakim Mahazan Mat Taib akan bersambung esok.
Dzulkefly memfailkan saman terhadap Najib pada 31 Dis 2021 berhubung hantaran Facebook bekas perdana menteri itu yang mendakwa plaintif mengamalkan nepotisme bagi memastikan pelantikan anak perempuannya Nurul Iman sebagai ahli lembaga AIM.
Beliau mendakwa hantaran fitnah itu diterbikan dengan niat untuk memalukan dirinya selain bermotifkan politik bagi menjejaskan reputasinya.
Najib dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 29 Mac 2022 menyatakan hantaran berkenaan tidak ada kena-mengena dengan Dzulkefly sebeliknya merujuk kepada gabungan parti dalam Pakatan Harapan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial