EKONOMI

Keuntungan Bersih 2026 AEON Credit Melonjak Kepada RM385.88 Juta, Umum Dividen 17.75 Sen

07/04/2026 07:51 PM

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Keuntungan bersih Aeon Credit Service (M) Bhd, melonjak kepada RM385.88 juta dalam tahun kewangan berakhir 28 Feb 2026 berbanding RM370.61 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan 2025.

Lonjakan itu disebabkan oleh tambahan dalam hasil berjumlah RM270.945 juta, diimbangi oleh kerugian rosot nilai yang lebih tinggi ke atas pembiayaan belum terima sebanyak RM60.367 juta dan kenaikan dalam perbelanjaan operasi lain pada RM66.375 juta, sejajar dengan peningkatan jumlah urus niaga serta pembiayaan.

AEON Credit melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata pendapatannya juga meningkat 12.3 peratus kepada RM2.47 bilion daripada RM2.20 bilion sebelumnya.

Bahagian kerugian dalam AEON Bank bagi tahun kewangan setakat ini berjumlah RM85.221 juta berbanding RM68.331 juta yang disaksikan semasa tahun sebelumnya susulan kos yang lebih tinggi yang ditanggung untuk teknologi, kakitangan dan sokongan pemasaran yang terkait dengan pelancaran perbankan perniagaan.

“Nisbah perlindungan kerugian pinjaman berada pada paras 195 peratus setakat 28 Feb 2026 daripada 209 peratus pada 28 Feb 2025,” katanya.

Untuk suku keempat berakhir 28 Feb 2026, keuntungan bersih AEON Credit menokok kepada RM144.29 juta berbanding RM130.96 juta pada suku keempat tahun kewangan 2025, manakala hasil naik kepada RM631.25 juta daripada RM575.04 juta sebelumnya.

Kumpulan itu juga mengisytiharkan pembayaran sebanyak 17.75 sen sesaham, terdiri daripada dividen akhir 15.75 sen dan dividen khas dua sen kepada pemegang saham berdasarkan rekod pendeposit pada 2 Julai 2026 untuk pembayaran menjelang 23 Julai 2026.

AEON Credit ketika bercakap mengenai prospek memberitahu ia akan terus mengamalkan pendekatan perniagaan yang berhati-hati dan berhemat, dengan mengambil kira konflik geopolitik yang semakin memuncak di Asia Barat sehingga mengganggu rantaian bekalan global, tekanan inflasi yang timbul daripada lonjakan harga minyak global dan turun naik dalam pasaran kewangan global.

“Kumpulan itu kekal menumpukan pada peningkatan aset pembiayaan yang berkualiti selain memantau dengan teliti risiko kredit yang wujud dalam portfolio pembiayaannya, sambil meningkatkan keupayaan teknologi maklumatnya untuk memacu kecekapan operasi dan mengekalkan disiplin kos yang berkesan.

“Kumpulan itu juga akan memanfaatkan ekosistem AEON Group di Malaysia untuk meluaskan lagi capaian pelanggan,” katanya.

Selain daripada sebarang keadaan yang tidak dijangka, kumpulan itu menjangka dapat mengekalkan momentum perniagaan melalui pelaksanaan langkah-langkah yang sesuai untuk tahun kewangan berakhir 28 Feb 2027.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan