BALING, 8 April (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah menyerbu sebuah premis kediaman yang didapati menyimpan 288 kilogram (kg) minyak masak paket secara tidak sah di Kampung Sungai Limau, di sini Ahad lepas.
Pengarahnya, Muhammad Nizam Jamaludin berkata serbuan dilakukan kira-kira 11 pagi itu dilakukan empat anggota penguat kuasa KPDN Baling setelah membuat risikan sejak seminggu lepas ekoran aduan diterima.
“Premis kediaman tersebut menjalankan aktiviti memproses makanan ringan tempatan. Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan sejumlah minyak masak yang dipercayai digunakan untuk tujuan menggoreng kerepek.
“Seorang lelaki warga tempatan berusia 33 tahun yang mengaku sebagai pemilik premis itu gagal untuk mengemukakan permit atau kebenaran Pengawal Bekalan bagi tujuan menyimpan minyak masak tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pasukan serbuan seterusnya menyita sebanyak 288 paket minyak masak polibeg 1kg untuk siasatan lanjut dengan jumlah sitaan keseluruhan dianggarkan RM720 dan kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).
“KPDN memberi amaran keras bahawa sebarang cubaan oleh mana-mana pihak, sama ada individu mahupun sindiket yang cuba menyeleweng subsidi negara merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap kepentingan rakyat dan negara,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial