PUTRAJAYA, 8 April (Bernama) -- Kerajaan hari ini bersetuju menubuhkan Majlis Pengurusan Bencana Negara dengan ahli tetapnya dianggotai oleh semua Menteri Besar, Ketua Menteri dan Premier Sarawak, kata Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata penubuhan majlis berkenaan dipersetujui pada mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dan sekretariatnya adalah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
“Majlis ini akan merangkumi semua Menteri Besar, Ketua Menteri dan Premier Negeri Sarawak sebagai ahli tetap dan (mesyuarat majlis) akan diadakan sejurus selepas Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri yang diadakan secara berkala.
“Pihak sekretariat bagi Majlis Pengurusan Bencana Negara telah diputuskan sebagai pihak NADMA,” katanya pada taklimat krisis tenaga global dan sidang media pasca mesyuarat Kabinet di sini hari ini.
Beliau berkata Jemaah Menteri hari ini turut dimaklumkan mengenai pengumuman Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai pelanjutan pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) sehingga penghujung tahun 2027.
Fahmi berkata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing juga memaklumkan kepada Jemaah Menteri bahawa terdapat keperluan untuk meneliti cabaran dihadapi beberapa sektor seperti penerbangan mahupun hospitaliti untuk memastikan mereka tidak terlalu terkesan akibat krisis tenaga global dan konflik di Asia Barat.
Sementara itu, beliau berkata Jemaah Menteri turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Menteri Pengangkutan yang juga Presiden Kehormat Seluruh Hidup MCA Tun Dr Ling Liong Sik, yang meninggal dunia pada Sabtu lepas.
“Beliau merupakan seorang mantan Menteri Pengangkutan yang telah berkhidmat 17 tahun, antara Menteri Pengangkutan yang paling lama berkhidmat dan paling banyak berjasa kepada negara,” katanya.
Fahmi berkata Jemaah Menteri juga telah meneliti beberapa kemudahan yang akan disediakan untuk keluarga Tun Dr Ling sebagai tanda hormat atas pemergian mendiang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial