IPOH, 8 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak akan melaksanakan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi penjawat awam negeri bermula 15 April ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.
Beliau berkata langkah itu diambil selaras dengan pekeliling yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, namun kaedah pelaksanaannya akan disesuaikan mengikut keperluan dan keadaan semasa di peringkat negeri.
“Kita ikut pekeliling, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) pun dah keluarkan pekeliling itu bermula (BDR) 15 April. Dalam mesyuarat Exco tadi pun kita bincang perkara yang sama.
“SUK dan KSN masih sedang mengkaji kaedah pelaksanaan. Walaupun arahan sama daripada KSN, tetapi pelaksanaannya pasti berbeza mengikut negeri,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Dana Kreatif Perak@PORT (DKP) bagi edisi 2025/2026, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai pelaksanaan BDR di Perak.
Saarani berkata kerajaan negeri akan memastikan pelaksanaan BDR berjalan lancar mengikut garis panduan yang ditetapkan dengan mengambil kira keperluan perkhidmatan awam di negeri itu.
Cadangan pelaksanaan BDR secara berperingkat adalah langkah strategik Kerajaan Persekutuan bagi memperkukuh kesiapsiagaan dalam menghadapi krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial