AM

Pulau Pinang Salur RM2.42 Juta Kepada SJKT, Tadika Dan Pendidikan Komuniti Tahun Ini

08/04/2026 09:04 PM

GEORGE TOWN, 8 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus komited memperkasa pendidikan dengan menyalurkan peruntukan berjumlah RM2.42 juta kepada 28 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di negeri ini tahun ini sebagai usaha menyokong kecemerlangan generasi muda.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata daripada jumlah tersebut, RM768,901 disalurkan kepada 28 Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJKT bagi memastikan fasiliti sekolah sentiasa kondusif.

Selain itu, beliau memaklumkan RM194,400 akan disalurkan kepada 11 buah tadika di SJKT sebagai pelaburan awal dalam pembangunan modal insan, manakala RM1,336,699 pula diperuntukkan kepada Majlis Pendidikan Pulau Pinang (PEC) untuk pembangunan infrastruktur digital dan kemahiran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“RM120,000 pula disalurkan kepada tiga pusat pendidikan Punjabi, manakala persatuan Telugu menerima sebanyak RM30,000 sebagai bukti komitmen kerajaan negeri dalam memastikan keterangkuman dan keadilan sosial dalam sektor pendidikan,” katanya pada majlis penyampaian sumbangan di Komtar, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri II Jagdeep Singh Deo; Exco Perumahan dan Alam Sekitar Datuk Seri S. Sundarajoo merangkap Pengerusi Jawatankuasa Khas Sekolah Tamil; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam K. Kumaran; serta ADUN Batu Uban A. Kumaresan.

Mengulas lanjut, Chow berkata kerajaan negeri juga kini giat memantau projek pembinaan bangunan baharu SJKT Rajaji di George Town dan SJKT Ladang Byram di Nibong Tebal.

Beliau turut menegaskan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperjuangkan penubuhan Sekolah Menengah Tamil pertama di Malaysia sebagai sebahagian daripada agenda memperkukuh akses pendidikan komuniti.

Sementara itu, Sundarajoo berkata sebahagian daripada peruntukan tersebut turut dimanfaatkan untuk beberapa inisiatif baharu, termasuk penyediaan meja dan kerusi secara percuma kepada semua SJKT serta pelaksanaan kem pengurusan stres khusus untuk guru besar dan penolong kanan.

Beliau berkata Jawatankuasa Khas Sekolah Tamil Pulau Pinang juga menyasarkan penyediaan bilik atau ruang sembahyang di kesemua 28 SJKT negeri ini tahun ini, dengan empat sekolah telah melaksanakannya sebagai tanda keprihatinan terhadap amalan keagamaan.

“Di samping itu, kita juga fokus pada penganjuran Sukan Tahunan Sekolah Tamil di Pulau Pinang bagi memupuk gaya hidup sihat dan semangat kesukanan dalam kalangan murid, selain melaksanakan Kem Bahasa Malaysia dalam usaha memperkasa penguasaan Bahasa Kebangsaan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan