AM

Fahmi Minta TikTok Perinci Kesan Krisis Tenaga Global Terhadap TikTok Shop

08/04/2026 11:09 PM

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil akan meminta pihak TikTok menjelaskan kesan krisis tenaga global dan konflik di Asia Barat terhadap operasi TikTok Shop, terutamanya melibatkan aspek logistik penghantaran serta perkhidmatan.

Beliau berkata maklumat diperoleh itu bagi dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dijadual diadakan Selasa depan.

“Penelitian berkenaan penting bagi memahami impak krisis geopolitik dan tenaga terhadap rakan niaga serta keseluruhan ekosistem TikTok Shop termasuk perkhidmatan berkaitan yang menyokong operasi platform itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program TikTok Shop Raikan Raya 2026 di sini malam ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching dan Pengarah Kanan Kerjasama Strategik TikTok Shop Malaysia Nur Azre Abdul Aziz.

Fahmi berkata pada masa ini terdapat lebih tujuh juta ‘live streamers’ terlibat dalam ekonomi TikTok Shop yang telah menjana hasil sebanyak RM1.9 bilion serta mewujudkan kira-kira 147,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

Beliau berkata pencapaian berkenaan membuka ruang luas kepada rakyat untuk terlibat dalam ekonomi digital, sama ada dengan memasarkan produk sendiri atau membantu menjual produk pihak lain melalui platform berkenaan atau affiliate.

Dalam pada itu, Fahmi berkata beliau akan mengesyorkan TikTok Shop bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang kini mempunyai hampir 1,100 cawangan di seluruh negara.

“Banyak NADI berada di kawasan luar bandar dan boleh dimanfaatkan untuk melahirkan pencipta kandungan serta membantu komuniti menjual produk tempatan secara dalam talian melalui TikTok Shop,” katanya.

Fahmi turut memaklumkan Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dijadual bertemu dengan pihak pengurusan TikTok di Singapura, Jumaat ini bagi membincangkan beberapa perkara berbangkit termasuk isu berkenaan.

Beliau berharap kemudahan Internet yang pantas dan meluas di Malaysia dapat terus dimanfaatkan rakyat untuk menjana pendapatan tanpa perlu meninggalkan rumah, selain membantu peniaga mengembangkan perniagaan melalui jualan dalam talian.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan