EKONOMI

Amanah Hartanah Bumiputera Umum Agihan Pendapatan Interim 2.50 Sen Seunit

09/04/2026 11:36 AM

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Pelaburan Hartanah Bhd (PHB) dan PHB Asset Management Bhd (PHBAM) mengumumkan agihan pendapatan interim sebanyak 2.50 sen seunit bagi Amanah Hartanah Bumiputera (AHB), sebuah dana unit amanah patuh syariah, untuk tempoh enam bulan berakhir 31 Mac, 2026.

Dalam kenyataan bersama hari ini, PHB dan PHBAM berkata agihan itu merangkumi pendapatan sebanyak 2.06 sen seunit serta bonus 0.44 sen seunit, dengan bonus tersebut ditanggung oleh PHB selaku penaja dan dibayar bagi pegangan satu juta unit pertama setiap pemegang unit.

“Sejumlah RM118.74 juta akan diagihkan kepada kira-kira 87,000 pemegang unit, menjadikan jumlah terkumpul agihan pendapatan AHB sejak penubuhannya pada 2010 sebanyak RM2.5 bilion,” menurut kenyataan itu.

Ia berkata agihan pendapatan akan dibayar dalam bentuk unit kepada pelabur yang memegang kurang daripada 10,000 unit, manakala mereka yang memiliki 10,000 unit dan ke atas akan menerima bayaran tunai yang dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing pada 13 April, 2026.

“Agihan ini adalah bersih selepas cukai dan zakat, sekali gus membolehkan pemegang unit menerima agihan bersih tanpa perlu menolak zakat atau kewajipan lain,” katanya.

Pengarah Urusan Kumpulan PHB Mazuki Abdullah @ Muhammad berkata agihan tersebut mencerminkan daya tahan portfolio AHB serta pendekatan berdisiplin PHB dalam mengdepani persekitaran pasaran yang dinamik.

“Disokong portfolio aset komersial utama yang pelbagai, kami kekal komited untuk memberikan pulangan yang mampan dan kompetitif kepada pemegang unit,” katanya.

Beliau berkata AHB terus membuktikan kekukuhannya sebagai dana unit hartanah patuh syariah yang menawarkan nilai berdaya saing kepada pelabur bumiputera, disokong pengurusan aset yang berkesan serta strategi pelaburan jangka panjang.

“PHB akan terus memperkukuh portfolio menerusi strategi agihan aset yang tersusun, pengurusan modal berhemat serta pemerolehan dan pelupusan aset secara berdisiplin bagi memastikan AHB kekal berada pada kedudukan baik untuk memberikan pulangan agihan pendapatan mampan, di samping menyokong agenda nasional penciptaan kekayaan Bumiputera,” kata beliau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PHBAM Zulkifli Ishak berkata selaku pengurus dana AHB, pihaknya akan terus memberi tumpuan kepada inisiatif celik kewangan dan program kesedaran bagi menekankan kepentingan perancangan kewangan yang kukuh, selain memperluas akses kepada komuniti Bumiputera.

Beliau berkata usaha itu akan disokong strategi pemasaran yang lebih agresif bagi memperluas jangkauan dan menggalakkan penyertaan berterusan.

Pemegang unit boleh menyemak agihan pendapatan masing-masing mulai 13 April 2026 menerusi pengedar sah AHB iaitu PHBAM melalui www.myahb.my, selain Maybank, AmBank, Bank Islam dan Bank Kerjasama Rakyat.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Khidmat Pelanggan PHBAM di talian 03-7734 0555 atau melayari www.phbam.com.my.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan