EKONOMI

CGS MY Selesaikan Tawaran Saham Persendirian YTL Hospitality REIT Sebanyak RM94.5 Juta

09/04/2026 03:55 PM

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd (CGS MY) menyelesaikan tawaran saham persendirian bernilai RM94.5 juta untuk YTL Hospitality REIT (dana pelaburan hartanah).

CGS MY bertindak sebagai penasihat utama dan penyelaras untuk transaksi berkenaan.

Dalam satu kenyataan, penyedia perkhidmatan kewangan bersepadu tersebut berkata tawaran itu menarik minat yang tinggi daripada pelabur institusi.

"Nilai perolehan kontrak itu khususnya didorong oleh asas pelanggan institusi CGS MY dengan penyertaan daripada dana tempatan dan asing.

"Syarikat insurans dan pengurus aset membentuk sebahagian besar bidaan yang diterima," katanya.

Firma tersebut berkata permintaan yang kukuh untuk tawaran berkenaan mencerminkan keyakinan pelabur yang berterusan terhadap portfolio dan prospek pertumbuhan YTL Hospitality REIT serta daya tahan sektor hospitaliti dan pelancongan Malaysia memandangkan aktiviti pelancongan terus kembali normal di seluruh rantau ini.

"Kami berbesar hati kerana dapat menyokong YTL Hospitality REIT dalam tawaran saham persendirian ini selain melihat permintaan yang begitu menggalakkan daripada pelabur institusi.

"Penyertaan daripada dana tempatan dan asing terutamanya syarikat insurans dan pengurus aset menunjukkan minat pelabur yang berterusan terhadap aset REIT Malaysia yang berkualiti tinggi," kata Ketua Negara CGS MY, Alan Inn Wei Loon.

CGS MY berkata pihaknya kekal komited untuk menyokong syarikat Malaysia dalam mengakses pasaran modal serta mempermudah peluang pelaburan untuk pelabur institusi sambil menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan berterusan pasaran modal Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan