SUKAN

Kerjasama MFL-Konami Bawa Liga M Ke Pentas Global Menerusi eFootball

09/04/2026 04:31 PM

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menjalin kerjasama strategik dengan Konami Digital Entertainment bagi membawa saingan Liga Malaysia (Liga M) ke pentas digital global menerusi permainan bola sepak popular, eFootball.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Mohd Shazli Shaik Mohd berkata inisiatif itu merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh jenama Liga M selain menarik minat golongan muda terhadap arena bola sepak tempatan.

Beliau menyifatkan kerjasama itu sebagai sebahagian ‘pendekatan mega’ yang lebih menyeluruh bagi merapatkan hubungan antara Liga M dengan komuniti eFootball yang besar di Malaysia.

“Hari ini menandakan satu langkah ke arah pendekatan mega, iaitu usaha merapatkan hubungan dengan komuniti eFootball di Malaysia yang sangat besar. MFL amat berbesar hati, malah sebelum pengumuman rasmi hari ini, sudah timbul kehangatan di media sosial sejak beberapa hari lepas mengenai MFL menandatangani kerjasama dengan Konami.

“Kami juga melihat respons memberangsangkan dari negara jiran apabila Liga M kini dipaparkan dalam platform eFootball oleh Konami,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis menandatangani kerjasama antara Konami dan MFL di sini, hari ini.

Mohd Shazli memaklumkan bahawa Malaysia merupakan negara ketiga yang menampilkan liga domestiknya dalam permainan itu, selepas Jepun dan Thailand.

Sementara itu, beliau berkata tempoh serta nilai kerjasama berkenaan, termasuk pulangan kepada kelab-kelab akan diumumkan pada masa yang sesuai.

Dalam pada itu, Penerbit Am Konami Digital Entertainment, Junichi Taya berkata Malaysia merupakan pasaran penting bagi syarikat berkenaan susulan budaya bola sepak kukuh serta penyokong yang bersemangat di negara ini.

“Malaysia mempunyai budaya bola sepak sangat kuat dan penyokong yang bersemangat, menjadikannya pasaran penting bagi eFootball. Rakyat di sini bukan sahaja berminat dengan bola sepak sebenar, malah juga dalam e-sukan dan platform digital. Itulah sebabnya Konami sangat berminat untuk bekerjasama dengan Malaysia,” katanya.

Kerjasama itu akan menyaksikan elemen Liga M, termasuk kelab, pemain serta identiti bola sepak tempatan, dipaparkan dalam permainan berkenaan, sekali gus memberikan pendedahan antarabangsa yang lebih luas kepada liga domestik.

Selain itu, pelaksanaan server Malaysia dijangka menawarkan pengalaman permainan dalam talian lebih lancar dan kompetitif, selaras dengan pertumbuhan pesat komuniti eFootball di negara ini.

Antara yang hadir pada majlis tersebut ialah Presiden MFL Datuk Ab Ghani Hassan, Pengurus Kanan Pemasaran Perniagaan Konami Digital Entertainment Hajime Matsumaru serta pemain daripada beberapa kelab Liga M.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan