KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 28 April untuk menyampaikan keputusan berhubung permohonan bekas setiausaha politik kanan kepada perdana menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin bagi memindahkan lima pertuduhan rasuah yang dihadapinya daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi di sini.
Hakim Noor Ruwena Md Nurdin menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan peguam Shamsul Iskandar, Datuk Amer Hamzah Arshad, serta Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan.
“Saya mencadangkan 28 April 2026 (untuk keputusan),” katanya.
Dalam permohonan yang difailkan pada 4 Feb lepas, Shamsul Iskandar berhujah bahawa kes berkenaan melibatkan persoalan perlembagaan dan isu perundangan yang kompleks, termasuk perkara berkaitan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau turut menyatakan bahawa pemindahan kes tidak akan memprejudiskan mana-mana pihak, sebaliknya akan memudahkan penentuan isu yang dibangkitkan dengan lebih teratur.
Pada 4 Dis 2025, Shamsul Iskandar didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan bersetuju menerima suapan untuk dirinya, iaitu wang tunai RM100,000 daripada ahli perniagaan Tei Jiann Cheing atau turut dikenali sebagai Albert Tei sebagai dorongan bagi melakukan perbuatan berhubung dengan hal ehwal prinsipalnya.
Ia dengan membantu syarikat yang Tei mempunyai kepentingan mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah, walaupun perbuatan itu sebenarnya tidak mempunyai hubungan dengan hal ehwal prinsipal tertuduh.
Shamsul Iskandar juga didakwa memperoleh suapan untuk dirinya sendiri, iaitu wang tunai RM40,000 daripada Tei bagi tujuan sama di sebuah premis di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya di sini.
Dia turut didakwa atas dua lagi pertuduhan, iaitu memperoleh untuk dirinya satu suapan berupa kelengkapan perabot dan barangan elektrik bernilai RM14,580.03 dan RM22,249 daripada individu sama bagi tujuan sama.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di premis di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya; di tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Sultan Hishamuddin di sini; serta di Jalan P14A 1/1, Presint 14, Putrajaya, antara 7 Dis 2023 hingga 31 Jan 2024, serta antara 24 Nov 2023 hingga 5 Mac 2024.
Pada 5 Dis tahun lepas, beliau turut didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas satu pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM64,924 yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Rahmalidya Buyong bagi tujuan pembayaran penyewaan sebuah rumah di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya Kuala Lumpur daripada Tei.
Suapan itu sebagai dorongan bagi membantu syarikat yang mempunyai kepentingan kepada Tei untuk mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial