AM

Bas Shuttle Percuma, Kaunter Informasi Antara Pembaharuan Pesta Kaamatan 2026

14/04/2026 04:43 PM

PENAMPANG, 14 April (Bernama) -- Jawatankuasa Induk Pesta Kaamatan 2026 memperkenalkan beberapa inisiatif baharu termasuk perkhidmatan bas shuttle percuma bagi meningkatkan keselesaan pengunjung ketika kemuncak sambutan perayaan itu pada 30 dan 31 Mei ini.

Timbalan Ketua Menteri I Sabah Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata inisiatif itu bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas di sekitar Kompleks Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) sepanjang penganjuran pesta berkenaan.

Beliau yang juga Pengerusi Sambutan Perayaan Pesta Kaamatan peringkat negeri 2026 berkata perkhidmatan bas shuttle percuma itu akan beroperasi secara berulang-alik dari KDCA ke dua pusat beli-belah, iaitu Imago dan Suria Sabah.

“Langkah itu juga sebagai usaha mengatasi masalah kekurangan tempat letak kereta yang sering menjadi cabaran utama di sekitar kompleks berkenaan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Induk Pesta Kaamatan 2026 di Dewan Hongkod Koisaan KDCA di sini hari ini.

Beliau berkata penambahbaikan itu turut melibatkan pembukaan Kaunter Informasi Kaamatan bermula 15 hingga 31 Mei ini bagi memudahkan pelancong dan pengunjung mendapatkan maklumat berkaitan jadual program perayaan itu serta kepelbagaian budaya etnik di Sabah.

Joachim berkata beberapa skrin LED tambahan akan dipasang di bahagian belakang kompleks KDCA bagi memberi peluang kepada orang awam untuk menonton acara yang berlangsung di dalam Dewan Hongkod Koisaan secara siaran langsung.

Beliau berkata penambahbaikan rumah-rumah tradisi di kompleks berkenaan telah dilaksanakan bagi meningkatkan keselesaan serta pengalaman pengunjung, selain kawasan tapak pameran agensi dinaik taraf melalui kerja penurapan bertujuan memastikan persekitaran lebih teratur dan selesa.

Menurut Joachim, rumah terbuka akan diadakan di semua rumah tradisi pada 30 dan 31 Mei dari 11 pagi hingga 2 petang, sambil menegaskan tiada minuman beralkohol dijual atau dihidangkan, sebaliknya hanya minuman tradisional disediakan manakala persembahan dan pameran budaya pula berlangsung mengikut jadual yang ditetapkan.

“Pertandingan Kecemerlangan Pengurusan Rumah Tradisi akan diadakan dan diadili oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Lembaga Pelancongan Sabah dan Tourism Malaysia berdasarkan piawaian serta kriteria antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Joachim berkata permohonan telah dibuat kepada Malaysian Book of Records bagi mendapatkan pengiktirafan Perayaan Pesta Kaamatan sebagai perayaan pesta menuai terpanjang di Malaysia.

Joachim turut memaklumkan Papar dipilih sebagai lokasi pelancaran Pesta Kaamatan 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 1 Mei ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan