EKONOMI

PMB Investment Umum Agihan Dua Dana, 2.39 Sen Bagi Shariah Dividend Fund

16/04/2026 01:30 PM

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- PMB Investment Bhd mengumumkan agihan pendapatan bagi dua dana kendaliannya, termasuk sebanyak 2.39 sen seunit bagi PMB Shariah Dividend Fund dengan jumlah agihan RM1.34 juta bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Mac 2026.

Menerusi kenyataannya hari ini, syarikat pengurusan dana Islam di bawah Pelaburan MARA Bhd, memaklumkan nilai aset bersih (NAB) seunit pada 27.06 sen seunit dan diselaraskan kepada 24.67 selepas agihan.

“Berdasarkan NAB pada 31 Mac 2026, ini memberikan hasil agihan sebanyak 10.03 dan dana ini terus menyerlah dengan jumlah pulangan sebanyak 11.54 peratus bagi tempoh sama.

“Menerusi hasil agihan dua digit dan pulangan keseluruhan yang kukuh, PMB Shariah Dividend Fund terus menonjol sebagai pilihan jana pendapatan yang menarik dan menawarkan alternatif kepada instrumen simpanan konvensional dan deposit tetap bagi pelabur yang mahukan pulangan seiring dengan pelaburan beretika,” menurutnya.

PMB Investment memaklumkan, dana itu memperuntukkan 70 peratus hingga 99.5 peratus daripada NAB kepada ekuiti dan sekuriti berkaitan ekuiti patuh Syariah dan baki selebihnya dilaburkan dalam instrumen pasaran wang Islam, sukuk, deposit Islam dan aset lain patuh Syariah dengan objektif jangka panjang untuk mengatasi prestasi produk pendapatan tetap konvensional.

Dalam pada itu, syarikat pengurusan dana itu memaklumkan PMB Shariah Index Fund mencatat agihan sebanyak 2.50 sen seunit yang berjumlah RM1.15 juta.

“NAB seunit sebelum agihan adalah 55.85 sen yang diselaraskan kepada 53.35 selepas agihan, mencerminkan hasil agihan sebanyak 4.89 peratus bagi tahun kewangan berkenaan dengan jumlah pulangan sebanyak 9.17 peratus bagi tempoh sama,” menurutnya.

PMB Investment juga memaklumkan kedua-dua agihan dana berkenaan telah dikreditkan pada 31 Mac 2026 dengan tarikh pelaburan semula ditetapkan pada 1 April 2026.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment Hang Tuah Amin Tajudin berkata dalam tempoh lima tahun, PMB Shariah Dividend Fund telah mencatat pulangan kumulatif sebanyak 41.62 peratus yang membuktikan kemampuan menjana pendapatan dan pertumbuhan modal secara serentak.

Pada masa sama, PMB Shariah Index Fund mencatat pulangan kumulatif sebanyak 24.0 peratus dan kekal selaras dengan Indeks Shariah EMAS FTSE Bursa Malaysia.

“Keputusan ini menunjukkan daya tahan dan konsistensi pendekatan kami merentasi pelbagai kitaran pasaran,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan