KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Kumpulan AmBank telah meluluskan kemudahan pembiayaan berjumlah RM102.40 juta kepada Gajahsuria Power Sdn Bhd (GSP) bagi menyokong pembangunan projek Solar Berskala Besar 5 (LSS5) berkapasiti 29.99 megawatt arus ulang alik (MWac) di Kampung Gajah, Perak.
GSP dimiliki bersama oleh Sun Energy Ventures Sdn Bhd, Constant Energy Malaysia Holding Sdn Bhd (CEMH) dan BayWa r.e. Energy Solutions Sdn Bhd.
CEMH merupakan entiti tempatan Constant Energy yang berpangkalan di Thailand dan merupakan pemaju utama yang bertanggungjawab bagi pembangunan keseluruhan projek, operasi dan aspek penyelenggaraan.
Dalam kenyataan bersama hari ini, AmBank memaklumkan pembiayaan itu akan digunakan bagi tujuan modal kerja dan kos projek berkaitan pembangunan dan operasi loji fotovoltan solar yang telah dianugerahkan di bawah program LSS5 oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).
“Projek GSP ini menandakan pengembangan selanjutnya armada loji solar berskala besar syarikat berkenaan di Malaysia. Dengan anggaran nilai projek sebanyak RM128.0 juta, loji solar Kampung Gajah dijangka beroperasi pada Julai 2027.
“Kemudahan ini akan menyumbang kepada pengurangan kebergantungan Semenanjung Malaysia terhadap bahan api fosil dan menyokong pembangunan sosial dan ekonomi tempatan,” menurutnya.
Sementara itu Pengarah Urusan Perbankan Perniagaan AmBank Christopher Yap berkata pembiayaan itu mencerminkan komitmen berterusan AmBank untuk memajukan infrastruktur lestari dan menyokong peralihan Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon.
“Kami teruja dapat bekerjasama dengan rakan kongsi yang kukuh seperti Constant Energy Group dan konsortiumnya untuk memacu penyelesaian tenaga yang berimpak dan sedia untuk masa hadapan,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Constant Energy Frank Constant berkata kumpulan itu memberi tumpuan kepada penyampaian dan pengendalian projek berkenaan ke tahap piawaian yang tinggi.
“Kami menghargai sokongan Kumpulan AmBank dalam menyediakan pembiayaan yang membantu memacu projek LSS5 untuk terus maju.
“Menerusi keupayaan tempatan dan persefahaman yang kukuh, kami kekal komited untuk menyokong peralihan tenaga Malaysia dalam jangka masa panjang sambil terus mengembangkan portfolio tenaga boleh baharu kami di seluruh Asia Tenggara.
Diperbadankan pada 15 Januari 2025, GSP merupakan sebuah syarikat tujuan khas untuk melaksanakan skop penuh projek yang merangkumi pembangunan, pembiayaan, reka bentuk, kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pemasangan, pengujian, pentauliahan serta pemilikan, operasi dan penyelenggaraan loji solar.
Constant Energy yang beribu pejabat di Bangkok, Thailand, pula adalah pemaju projek tenaga boleh baharu dan Penjana Tenaga Bebas (IPP) yang berpengalaman dengan jejak semakin berkembang di serata Asia Tenggara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial