IPOH, 22 April (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyita 1,000 liter diesel disyaki diseleweng dalam serbuan di sebuah stesen minyak di Kampar, semalam.
Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata serbuan dilakukan kira-kira 9 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa menerusi Ops Tiris 4.0.
"Ia dijalankan hasil risikan berhubung kegiatan penyelewengan minyak diesel yang dipercayai diperoleh dari beberapa stesen minyak di kawasan sekitar.
"Hasil pemantauan selama seminggu membawa kepada penemuan sebuah lori kargo tiga tan yang disyaki digunakan dalam kegiatan ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kamalludin berkata siasatan mendapati kenderaan tersebut telah diubah suai dengan pemasangan tangki tambahan berkapasiti kira-kira 3,000 liter yang diletakkan di bahagian muatan bagi tujuan mengumpul diesel.
Beliau berkata sindiket itu dipercayai beroperasi pada lewat malam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
"Modus operandi mereka melibatkan pembelian dan pemindahan diesel ke dalam tangki yang telah diubah suai. Sindiket tersebut dipercayai menjual semula kepada pihak industri di pasaran gelap.
"Dalam operasi ini, seorang lelaki tempatan berumur 56 tahun yang merupakan pemandu lori telah ditahan bagi membantu siasatan," katanya.
Kamalludin berkata turut disita sebuah lori tiga tan jenis Canter, tiga unit tangki jenis Intermediate Bulk Container (IBC), satu unit pam, satu set hos serta satu resit pembelian diesel dan kesemua nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM49,370.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melakukan kesalahan memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual minyak diesel tanpa kebenaran bertulis.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial