JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki Ditahan Pelihara Pelbagai Spesies Burung Dilindungi Tanpa Lesen Di Johor Bahru

30/04/2026 10:27 AM

JOHOR BAHRU, 30 April (Bernama) -- Polis melalui Cawangan Risik Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Bukit Aman Zon Selatan menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki menyimpan pelbagai spesies burung dilindungi tanpa lesen sah di Bandar Uda Utama, di sini, malam tadi. 

PSP menerusi hantaran di Facebook memaklumkan operasi bersepadu bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) itu dijalankan hasil maklumat awam di sebuah premis kediaman, kira-kira pukul 8.45 malam. 

"Hasil pemeriksaan menemukan 16 ekor burung pelbagai spesies antaranya 'sun conure', 'green cheeked parakeet', 'ringed neck parakeet' dan 'sulphur crested cockatoo', serta satu trofi hidupan liar disyaki tanduk rusa," menurut kenyataan itu. 

PSP memaklumkan lelaki berusia 37 tahun itu gagal mengemukakan sebarang dokumen atau lesen sah daripada pihak berkuasa bagi pemilikan dan penyimpanan hidupan liar tersebut.

Kesemua hidupan liar dan barangan dirampas dianggarkan bernilai RM62,381 diserahkan kepada Perhilitan Johor untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) khususnya Seksyen 60(1)(a) iaitu kesalahan menyimpan hidupan liar dilindungi dan bahagian hidupan liar tanpa lesen sah. 

Operasi bersepadu berkenaan dilaksanakan selaras pendekatan Reformasi Karenah Birokrasi (RKB) bagi memperkukuh keberkesanan penguatkuasaan antara agensi.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan