KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- AirTrunk, syarikat platform pusat data hiperskala terkemuka di Asia Pasifik dan Asia Barat, akan meningkatkan pelaburan sebanyak RM12 bilion lagi pada tahun ini, menjadikan pelaburan komited berjumlah RM27 bilion di Malaysia.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dimaklumkan sewaktu beliau menerima kunjungan hormat daripada Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif AirTrunk Robin Khuda bersama delegasi semalam.
Beliau berkata kunjungan hormat itu turut melibatkan perbincangan yang menyentuh kemajuan semasa berhubung pembinaan pusat-pusat data AirTrunk di Johor dan rangka kerja lokalisasi untuk meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian nilai pusat data.
"Komitmen pelaburan ini amat dialu-alukan dan diyakini akan memperkukuh lagi kedudukan Malaysia sebagai hab digital serantau yang berdaya saing, progresif dan berkeupayaan tinggi.
"Keputusan ini mencerminkan keyakinan para pelabur, terutamanya syarikat-syarikat teknologi global akan kelebihan Malaysia sebagai rakan strategik tatkala kerajaan memperkemas dasar serta tahap kecekapan pembangunan dan operasi pusat-pusat data," kata Anwar menerusi hantaran di platform X hari ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial